Perpustakaan nampak lengang

Perpustakaan nampak lengang

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 7 Sept – Setiap kali musim cuti persekolahan tiba, perpustakaan-perpustakaan di seluruh negara giat mengadakan pelbagai aktiviti bagi mengisi masa pelajar dengan kegiatan yang berfaedah.

Bagaimanapun, tinjauan Media Permata ke Perpustakaan Kampung Pandan, di sini, hari ini, melihat suasana agak lengang dipercayai ramai dalam kalangan pelajar menghabiskan masa mengulang kaji pembelajaran bagi persiapan menghadapi peperiksaan besar Penilaian Sekolah Rendah (PSR) dan ‘O’ Level bulan depan.

Pada sebelah pagi, hanya lima orang yang datang bagi menyertai aktiviti hari pertama musim cuti persekolahan yang telah disusun untuk selama empat hari sehingga Khamis ini.

Dalam temu bual bersama salah seorang kakitangan perpustakaan berkenaan, Dayang Siti Salinah binti Awang Salat memberitahu, jika penyertaan pada sebelah pagi yang bermula dari pukul 9:00 hingga 11:00 pagi tidak begitu menggalakkan, ia akan disambung pada sebelah petang, yang mana menurutnya lebih ramai pengunjung pada waktu itu semasa musim cuti sebelum ini.

Bagi musim cuti kali ini, Perpustakaan Kampung Pandan mengadakan Minggu 4M yang diisi dengan aktiviti Mengarang Cerita, hari ini, disusuli esok dengan aktiviti Melakar Ilustrasi, seterusnya Mewarna Ilustrasi dan Menghasilkan Sebuah Buku.

Kemudahan canggih bagi peminjam buku turut disediakan di Perpustakaan Kampung Pandan.
Kemudahan canggih bagi peminjam buku turut disediakan di Perpustakaan Kampung Pandan.
Hanya lima orang peserta hadir bagi aktiviti cuti persekolahan bagi hari pertama hari ini.
Hanya lima orang peserta hadir bagi aktiviti cuti persekolahan bagi hari pertama hari ini.

Manakala itu, Pustaka Ria pada hari Sabtu akan diisi dengan acara penyampaian hadiah kepada para pemenang aktiviti yang diadakan selama empat hari sebelumnya.

Dayang Siti Salinah memberitahu, Minggu 4M diadakan agak berbeza daripada aktiviti-aktiviti cuti persekolahan sebelumnya, di mana para pesertanya akan diberikan peluang untuk melontarkan idea-idea sendiri dalam mengarang, melakar ilustrasi, mewarnakannya dan kemudian menghasilkan buku sendiri.

“Bagaimanapun kami turut melontarkan sedikit idea kepada peserta sebelum memulakan karangan mereka umpamanya memberikan contoh karangan yang bertajuk Andai Aku Kaya, atau Andai Aku Sebatang Pen.

“Ia adalah sebagai pecahan minda kepada para peserta sahaja, sebelum menghasilkan karangan daripada idea mereka termasuk memberikan tajuk karangan mereka sendiri,” jelasnya.

Aktiviti 4M juga antara lain bertujuan untuk melatih para peserta untuk menjana idea sendiri dalam membuat karangan, supaya mereka lebih berkeyakinan menghasilkan sesuatu penulisan dan lakaran daripada cerita-cerita yang mereka hasilkan, sekali gus meningkatkan kemahiran peserta dalam penulisan, mengeja dan lukisan.

“Pada hari terakhir aktiviti, semua bahan-bahan daripada peserta akan dikumpulkan, kemudian akan dijadikan sebuah buku, manakala bahan daripada pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga akan dipamerkan di papan pameran yang disediakan di perpustakaan ini,” tambah Dayang Siti Salinah.

Beliau juga memberitahu, idea bagi menyediakan aktiviti-aktiviti cuti persekolahan di perpustakaan itu, lazimnya dirundingkan bersama oleh pegawai-pegawai perpustakaan, kira-kira sebulan sebelum menjelangnya cuti persekolahan, sementara itu, untuk aktiviti cuti penggal akhir persekolahan pada bulan Disember, hanya diadakan pada dua minggu pertama percutian, memandangkan minggu kedua akhir selalunya pengunjung sudah mulai lengang kerana ada yang melancong keluar negara dan sebagainya bersama ahli keluarga mereka.

Perpustakaan Kampung Pandan, setakat bulan Jun 2015 telah, mencatatkan seramai 1,736 orang ahli bagi golongan kanak-kanak berusia empat hingga 11 tahun, golongan muda-mudi berusia 12 hingga 20 tahun mencatat seramai 1,503 orang ahli dan 1,108 ahli lagi dicatatkan bagi golongan dewasa berusia 21 tahun ke atas.

ARTIKEL YANG SAMA