Perpustakaan sediakan pelbagai aktiviti sempena musim cuti

Perpustakaan sediakan pelbagai aktiviti sempena musim cuti

TEMBURONG, 10 Sept – Dalam keadaan kualiti udara yang kurang memuaskan ketika ini, kegiatan luar pada musim cuti persekolahan ini tidak banyak kelihatan dengan adanya kesedaran dan kebimbangan ibu bapa akan keadaan kesihatan anak-anak mereka akibat jerebu.

Sehubungan itu, menghantar anak-anak ke perpustakaan merupakan satu pilihan yang bijak malah bertepatan dengan musim peperiksaan akhir tahun yang semakin dekat.

Malahan, sempena cuti penggal persekolahan ini juga, Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Daerah Temburong, telah menyediakan pelbagai aktiviti khusus kepada ahli kanak-kanak dan muda mudi.

Ia antara lain bertujuan untuk mengisi masa para ahli di samping menanamkan minat membaca serta melahirkan idea-idea kreatif melalui aktiviti yang mereka sertai. Antara aktiviti yang diadakan termasuk ‘Bijak Matematik’, kraf tangan (origami), bacaan jawi, melukis dan mewarna, teka silang kata dan bermacam-macam lagi.

Sebagai pusat tumpuan kanak-kanak di daerah ini berbanding daerah lain, perpustakaan cawangan Temburong tidak pernah lengang dan telah mencatat seramai 12,075 orang ahli kanak-kanak, 9,750 ahli muda-mudi dan 4,763 ahli dewasa sejak ia ditubuhkan pada tahun 1975 sehingga 2014.

Ahli perpustakaan boleh menggunakan fasiliti komputer yang terdapat di Perpustakaan DBP Temburong.
Ahli perpustakaan boleh menggunakan fasiliti komputer yang terdapat di Perpustakaan DBP Temburong.
Aktiviti melukis dan mewarna menarik minat kanak-kanak di Perpustakaan DBP Temburong.
Aktiviti melukis dan mewarna menarik minat kanak-kanak di Perpustakaan DBP Temburong.

Menurut statistik, seramai 195,004 orang kanak-kanak, 83,661 muda mudi dan 57,096 orang dewasa mengunjungi perpustakaan awam ini, dengan jumlah buku sebanyak 72,250 buah buku.

Statistik juga mencatatkan sebanyak 232,277 bahan telah dipinjam sehingga penghujung tahun 2014 termasuk 14,051 buah buku melalui perkhidmatan perpustakaan bergerak ke sekolah-sekolah kerajaan, agama dan swasta.

Ini jelas menunjukkan fungsi utamanya sebagai gedung rujukan ilmu yang sangat berguna, masih relevan dengan era teknologi canggih yang semakin mengatasi kepentingan buku-buku sebagai bahan rujukan. – Ampuan Irma Susanti

ARTIKEL YANG SAMA