Perpustakaan UBD terima sumbangan buku

Perpustakaan UBD terima sumbangan buku

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Mac – Bagi meningkatkan dan membina kapasiti penyelidikan, beberapa buah persatuan dari Brunei, Pusat Pembelajaran Islam dari Malaysia dan Amerika Syarikat hari ini telah menyumbangkan buku-buku koleksi bertajuk ‘Pembelajaran Sejarah Brunei dan Islam Kontemporari’ kepada Perpustakaan Universiti Brunei Darussalam (UBD), yang diadakan di Business Library, di sini.

Penyerahan buku-buku telah disempurnakan oleh Penolong Naib Canselor ‘Korporat dan Pentadbiran’ UBD, Dayang Rubiah binti Haji Yacub dan Ketua Perpustakaan, UBD, Dr. Haji Awang Suhaimi bin Haji Abdul Karim.

Antara persatuan membuat sumbangan ialah Persatuan Sejarah Brunei (PESEBAR), Pusat Pembelajaran Islam Sultan Omar ‘Ali Saifuddien (SOASCIS), International Shari’ah Academy for Islamic Finance (ISRA) dan International Institute of Islamic Thought (IIIT) yang boleh didapati dalam Bahasa Melayu, Inggeris dan Arab.

Dr. Haji Awang Suhaimi pada majlis itu menyatakan bahawa sumbangan buku-buku itu akan dapat membantu meningkatkan kefahaman mahasiswa-mahasiswi UBD dan institusi lain mengikut aliran-aliran mereka.

Buku-buku koleksi bertajuk Pembelajaran Sejarah Brunei dan Islam Kontemporari yang telah diserahkan kepada Institusi pagi kelmarin.
Buku-buku koleksi bertajuk Pembelajaran Sejarah Brunei dan Islam Kontemporari yang telah diserahkan kepada Institusi pagi kelmarin.
Sesi bergambar ramai bersama wakil-wakil persatuan.
Sesi bergambar ramai bersama wakil-wakil persatuan.

Beliau juga menekankan bahawa sumbangan itu diharap akan menjadi contoh baik kepada mahasiswa-mahasiswi dan orang ramai untuk mempelawa mereka, ‘Berwakaf amal jariah ilmu’, untuk memberi manfaat kepada rakyat dan negara.

“Menjelang 2020, matlamat kami adalah untuk mendapatkan satu juta buku, yang memerlukan kerjasama daripada pihak profesional, badan bukan kerajaan (NGO), syarikat-syarikat swasta dan individu, untuk membantu meningkatkan penyelidikan dan pendidikan kapasiti negara,” katanya.

Turut hadir ialah wakil-wakil PESEBAR iaitu Prof Madya Dr. Haji Asbol bin Haji Mail, Prof Madya Ampuan Dr. Haji Brahim bin Ampuan Haji Tengah, Dr. Haji Tassim bin Haji Abu Bakar dan Profesor Unggul Datuk Osman Bakar dari SOASCIS.

ARTIKEL YANG SAMA