Persatuan 3PSM rai Lebaran

Persatuan 3PSM rai Lebaran

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Julai – Persatuan Pemilik-pemilik dan Pengusaha-pengusaha Stesen Minyak Brunei Darussalam (3PSM) baru-baru ini meraikan Lebaran bersama ahlinya di Hotel Parkview, Jerudong.

Seramai 200 ahli menghadiri sambutan itu yang dihadiri oleh Pengarah Urusan Brunei Shell Marketing Sdn Bhd (BSM), Pengiran Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapa.

Pengiran Shamhary dalam ucapannya menyentuh mengenai peningkatan jualan minyak sepanjang musim perayaan Aidilfitri.

Menurut beliau, purata jualan harian bagi tempoh lima hari antara 4 hingga 6 Julai 2016 telah meningkat sebanyak 20 peratus berbanding dengan kadar purata jualan harian sepanjang tahun 2016 (Jan ke Jun).
Jika dibandingkan dengan kadar purata jualan lima hari dari 16 sehingga 20 Julai 2015, kadar jualan pada tahun ini (4-6 Julai 2016), lebih tinggi sebanyak 30 peratus.

Pengiran Shamhary juga berkata, jualan pada ‘malam pukul’ adalah pada kadar 4,000 liter sejam. Sebanyak 42 catatan stok habis dilaporkan melebihi bilangan stesen minyak di negara ini.

Gambar ramai ketika majlis itu diadakan.
Gambar ramai ketika majlis itu diadakan.

“Ini menunjukkan bahawa terdapat stesen minyak yang stoknya habis lebih daripada sekali pada malam tersebut. Sungguh pun sebanyak 20 buah lori minyak beroperasi, tetapi ia tidak dapat mengalahkan jualan yang tinggi pada tempoh itu.”

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa BSM pada masa ini mengusahakan dua inisiatif baru iaitu menukar nombor talian am BSM (2244739) menjadi Pusat Panggilan atau Call Centre yang beroperasi 24 jam untuk menerima aduan atau maklum balas. Projek ini bagaimanapun masih dalam peringkat percubaan.

Manakala inisiatif kedua adalah menubuhkan Akademi Retail bertujuan mendukung usaha pembangunan sumber manusia dari segi profesionalisme forecourt, penyelia dan pengurus menerusi program kursus, latihan praktikal dan penilaian yang bersistematik serta berakreditasi. Pada masa ini, rangka sukatan pelajaran untuk program tersebut masih di peringkat penyediaan, tambahnya.

Beliau juga menyeru BSM dan 3PSM berganding bahu menghadapi cabaran dalam perniagaan.

Terdahulu, Yang Di-Pertua 3PSM, Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha bin Pengiran Metasan dalam ucapannya berkata, sambutan Hari Raya Aidilfitri yang diadakan ini adalah untuk mengukuhkan perpaduan dan mengeratkan silaturahim ahli-ahlinya.

ARTIKEL YANG SAMA