Persatuan Alumni UNISSA ditubuhkan

Persatuan Alumni UNISSA ditubuhkan

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 April – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melakar satu lagi sejarahnya yang tersendiri apabila berjaya menubuhkan Persatuan Alumni UNISSA yang dihasratkan dapat meningkatkan lagi mutu kemahiran individu demi memenuhi kehendak pasaran kerja, di samping berdikari bagi mereka yang sedang mencari atau menunggu pekerjaan tetap.

Sehubungan itu, majlis pelancarannya telah disempurnakan hari ini di Dewan Serba Guna UNISSA oleh Rektor UNISSA, Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal selaku tetamu kehormat majlis.

Beliau dalam ucapannya berkata, setiap alumni dianggap mempunyai tanggungjawab terhadap institusi yang telah dihadiri kerana gelaran ‘alumni’ itu sendiri membawa maksud seseorang yang membawa nama institusi berkenaan.

“Komitmen dan kerjasama dalam kalangan alumni yang sedia terjalin harus sentiasa dimantapkan. Saya percaya para alumni mampu menyumbangkan tenaga, pengetahuan dan kepakaran atau apa jua bentuk demi meningkatkan kemajuan UNISSA khususnya dan negara amnya.”

Tambahnya lagi, “Para alumni UNISSA merupakan golongan graduan berkualiti yang berpotensi tinggi untuk menyumbangkan khidmat bakti kepada ugama, bangsa dan negara. Setakat ini, UNISSA memiliki lima kohort alumni dengan bilangan graduannya mencecah seramai 665 orang graduan dalam pelbagai program.”

Dr. Haji Norarfan ketika menyampaikan ucapan pada majlis tersebut.
Dr. Haji Norarfan ketika menyampaikan ucapan pada majlis tersebut.

Persatuan tersebut akan dipimpin oleh Yang Di-Pertua, Haji Mohammad Syazwanizar bin Haji Mat Zain selaku penaung persatuan yang akan merancang dan melaksanakan program berfaedah khususnya untuk kepentingan para ahlinya dalam setiap aspek termasuk aspek intelektual dan ekonomi.

Persatuan tersebut ditubuhkan mengikut peruntukan dalam Akta UNISSA, Penggal 212 di bawah Bab 23 (1) dan telah diluluskan oleh Majlis UNISSA yang telah bersidang pada 13 April 2015 yang lalu.

Sebelum ini, Jawatankuasa Ad-Hoc Alumni UNISSA telah dilantik sebagai pasukan penggerak yang telah mengadakan pelbagai projek berkebajikan dalam fasa pertama, sebelum Persatuan Alumni UNISSA ditubuhkan secara rasmi melalui sistem undian.

Justeru, penubuhan persatuan tersebut diharap menjadi saluran penghubung di antara alumni UNISSA dengan pihak pentadbiran UNISSA dan masyarakat umum seperti yang diamalkan di institusi-institusi pengajian tinggi di peringkat antarabangsa dan juga di rantau ini.

Majlis diakhiri dengan penyampaian surat lantikan kepada Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Alumni UNISSA serta sijil penghargaan kepada Jawatankuasa Ad-Hoc Alumni UNISSA oleh tetamu kehormat majlis.

ARTIKEL YANG SAMA