Persatuan Bank wakili Brunei ke Bangkok

Persatuan Bank wakili Brunei ke Bangkok

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Dis – Satu delegasi yang terdiri daripada ketua-ketua pegawai eksekutif dan wakil-wakil kanan dari kesemua bank ahli Persatuan Bank-Bank Brunei (BAB), hari ini, berlepas ke Bangkok, Thailand bagi menghadiri sesi perbincangan dengan rakan-rakan dari Persatuan Bank-Bank Thailand dan Bank Thailand.

Delegasi BAB berkenaan diketuai oleh Pengerusi BAB, Rino Donosepoetro, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Bank Standard Chartered (SCB) dan disertai oleh Timbalan Pengerusi BAB, Ng Moon Kwee yang juga Ketua Cawangan RHB Bank Berhad; Timbalan Pengurus Besar, Bahagian Pengurusan Operasi dan Kepelbagaian dan Pembangunan Strategik Bank Baiduri, Andrew Young; Ketua Bahagian Institusi Perbankan Bank Islam Brunei Darussalam Berhad (BIBD), Haji Minorhadi bin Haji Mirhassan; Setiausaha dan Bendahari Kehormat BAB, Awang Abdul Razak bin Abdul Malek yang juga Pengurus Besar United Overseas Bank Limited; Ketua Pegawai Eksekutif The Hongkong and Shanghai Banking Corporation Limited, Todd Wilcox; Ketua Cawangan dan Pengurus Besar Malayan Banking Berhad, Lim Yu Kwang; dan Ketua Perhubungan Pelanggan, State Street (Brunei) Sdn Bhd, Edmund Teo.

Penyertaan delegasi dalam sesi perbincangan berkenaan dihasratkan untuk meningkatkan lagi keberkesanan rangkaian ASEAN bagi menjana kerjasama kewangan antarabangsa yang lebih erat dan untuk mempromosi Negara Brunei Darussalam sebagai destinasi pelaburan.

Rino menyatakan, dengan rangka kerja Komuniti Ekonomi ASEAN sudah ditetapkan, beliau melahirkan kepercayaan bahawa ia memberikan peluang kepada semua ekonomi ASEAN untuk berkembang merentas sempadan masing-masing.

Beliau yakin ia juga akan menggalakkan lebih banyak pergerakan perkhidmatan dan pelaburan merentas sempadan, dan dalam hubungan itu, BAB serta ahli-ahlinya harus membuat persediaan untuk menyertai dan menggalakkan kegiatan merentas sempadan berkenaan yang memberi manfaat kepada ekonomi Brunei, pada masa yang sama, ASEAN sebagai sebuah rantau akan mengalami perkembangan perkhidmatan dan produk kewangan.

Ketua-ketua Pegawai Eksekutif dan perwakilan kanan dari kesemua ahli bank BAB berlepas ke Bangkok, Thailand, bagi menyertai sesi perbincangan bersama dengan rakan-rakan dari Persatuan Bank-bank Thai dan juga dengan Thai Central Bank, Bank of Thailand.
Ketua-ketua Pegawai Eksekutif dan perwakilan kanan dari kesemua ahli bank BAB berlepas ke Bangkok, Thailand, bagi menyertai sesi perbincangan bersama dengan rakan-rakan dari Persatuan Bank-bank Thai dan juga dengan Thai Central Bank, Bank of Thailand.

Menurut beliau, lawatan ke Bangkok itu merupakan permulaan untuk menjalinkan hubungan kerjasama dan mendapat pandangan yang lebih baik mengenai wawasan mengenai semua ahli-ahli Persatuan Bank-bank ASEAN.

Sementara itu, Ng Moon Kwee dipetik berkata, walaupun Brunei merupakan pasaran yang terkecil di rantau ASEAN tetapi ia merupakan destinasi pelaburan yang menarik disebabkan beberapa perkara termasuk mempunyai struktur kewangan yang lengkap.

Ia juga mempunyai jumlah dan kombinasi bank dalam negara termasuk institusi tempatan, Islam dan luar negara, yang mencukupi untuk menjana persaingan sihat yang menawarkan kadar menarik selaras dengan ekonomi lain.

Beliau percaya, pada masa akan datang, syarikat-syarikat luar negara boleh memanfaatkan hubungan baik di antara bank mereka dengan BAB untuk membantu mereka membangunkan pangkalan di Brunei.

Manakala itu, Haji Minorhadi pula menekankan, dengan kira-kira separuh penduduk di rantau ASEAN beragama Islam, pembiayaan Islam mempunyai potensi yang signifikan untuk dikembangkan dan Komuniti Ekonomi ASEAN menyediakan pelbagai peluang yang harus diterokai.

Beliau berkata, kerjasama dalam kalangan institusi kewangan ASEAN bukan sahaja boleh dimanfaatkan bagi perdagangan dan pelaburan di antara negara-negara ASEAN tetapi ia juga boleh digunakan untuk mengukuhkan lagi kedudukan rantau ini untuk menarik pelaburan dari pasaran antarabangsa.

Lawatan itu merupakan sebahagian daripada strategi BAB untuk meningkatkan sektor kewangan Brunei sebagai pemboleh dalam ekonomi untuk mempromosikan pertumbuhan dan pelaburan ekonomi.

Semasa lawatan itu, delegasi akan memberikan penerangan mengenai peluang-peluang pelaburan di Brunei dan untuk meneroka kemungkinan bagi memperkenalkan penyesuaian perniagaan (business match) di antara klien menerusi rujukan dari institusi-institusi kewangan.

Sebagai sebahagian daripada agenda lawatan itu, BAB juga akan menyertai bengkel dua hala bersama Bank Thailand bagi membincangkan pelbagai topik termasuk inisiatif-inisiatif bank ke arah integrasi ASEAN dan peranan serta persiapan bank pusat dan bank komersial berhubung dengan pembayaran atau penyelesaian serantau.

ARTIKEL YANG SAMA