Persatuan Hokkien rai TBC

Persatuan Hokkien rai TBC

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Feb – Persatuan Hokkien Negara Brunei Darussalam, malam tadi, telah meraikan Sambutan Tahun Baru Cina (TBC) yang diselajurkan dengan penyampaian sijil-sijil penghargaan, biasiswa dan hadiah cemerlang yang diadakan buat kali ke-17, di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong. Turut hadir ialah Penolong Kanan Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Seri Wijaya Pengiran Haji Ahmad bin Pengiran Mohd Yusof.

Sambutan ini diadakan setiap tahun dengan tujuan untuk memberikan kesedaran kepada para ahli supaya terus menghayati dan menghargai sambutan ini di samping untuk merapatkan lagi hubungan sesama ahli.

Selain daripada itu, pada majlis berkenaan, persatuan turut menyampaikan hadiah penghargaan kepada para pelajar cemerlang yang terdiri daripada anak-anak ahli sendiri yang telah berjaya dalam berbagai-bagai kategori dan bidang pelajaran.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar bersama para jemputan Majlis Sambutan TBC Persatuan Hokkien Negara Brunei Darussalam.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar bersama para jemputan Majlis Sambutan TBC Persatuan Hokkien Negara Brunei Darussalam.
Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri menyampaikan sijil penghargaan dan biasiswa kepada pelajar.
Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri menyampaikan sijil penghargaan dan biasiswa kepada pelajar.

Seramai 238 orang menerima hadiah dalam bentuk sijil penghargaan dan wang tunai, yang diberikan sebagai galakan dan dorongan kepada mereka. Pengerusi Jawatankuasa Kerja, Awang Lim Peh Beng berkata, dalam bidang pelajaran, pihak persatuan menyedari bahawa sehingga waktu ini telah ramai anak-anak ahli yang telah menerima bantuan kerajaan melalui dermasiswa untuk melanjutkan pelajaran sama ada dalam dan luar negeri.

Ramai yang telah mendapat kelulusan tinggi dalam berbagai-bagai bidang dan ramai lagi sedang mengikuti pelajaran di beberapa buah universiti, dan mungkin ramai lagi yang akan mendapat sumbangan daripada pihak kerajaan untuk tujuan yang sama.

Ke arah ini, katanya, persatuan mengucapkan ribuan dan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak kerajaan Negara Brunei Darussalam.

ARTIKEL YANG SAMA