Persatuan Kesihatan Bersekutu dilancar

Persatuan Kesihatan Bersekutu dilancar

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Mei – Persatuan Kesihatan Bersekutu (A.H.A), yang didaftarkan secara rasmi pada 31 Disember 2014 dengan 11 ahli Majlis Eksekutif, telah dilancarkan dalam majlis yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan.

Pelancarannya telah disempurnakan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd Yusof.

Semasa menyampaikan ucapan di majlis itu, Yang Berhormat Pehin berkata penubuhan persatuan ini merupakan satu sejarah pencapaian yang menjadi satu ristaan mercu kejayaan bagi kalangan semua Profesional Kesihatan Bersekutu pelbagai disiplin di negara ini.

Menurut beliau, penubuhannya telah berjaya mengumpulkan berbagai-bagai profesion kesihatan bersekutu secara kolektif dan permuafakatan di bawah persatuan profesional kesihatan.

Ini, tambah beliau, jelas membuktikan bahawa kepelbagaian disiplin dapat bersatu dengan adanya kesepaduan, keazaman, kesefahaman dan komitmen dalam kalangan Profesional Kesihatan Bersekutu yang ingin sama-sama menyumbang kepada meningkatkan profesionalisme, memajukan profesi, mengamalkan kepentingan piawaian, untuk mencapai kecemerlangan serta memperkesankan lagi perkhidmatan berkualiti kepada pesakit dan orang ramai.

Antara yang menghadiri majlis pelancaran persatuan dan Forum Kesihatan Bersekutu, kelmarin.
Antara yang menghadiri majlis pelancaran persatuan dan Forum Kesihatan Bersekutu, kelmarin.
Yang Berhormat Pehin melancarkan Persatuan Kesihatan Bersekutu dan Forum Kesihatan Bersekutu.
Yang Berhormat Pehin melancarkan Persatuan Kesihatan Bersekutu dan Forum Kesihatan Bersekutu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, A.H.A adalah pertubuhan kebangsaan pertama yang bermatlamat untuk mewakili, mempromosikan dan menyokong peranan Profesion Kesihatan Bersekutu di Brunei Darussalam.

Salah satu objektifnya adalah untuk menggalakkan standard amalan dan etika profesional antarabangsa dalam kalangan profesional kesihatan bersekutu di negara ini.

Selain itu, ia juga diharap dapat mengumpulkan pakar dalam bidang kesihatan bersekutu menjadi sebuah kumpulan pemikir yang boleh menjana idea berinovasi, penggerak pembaharuan serta kemajuan dan pelaksana inisiatif yang menjurus kepada meningkatkan kualiti serta memperkesankan perkhidmatan kesihatan bersekutu di negara ini.

Moto persatuan, ‘R.E.A.C.H for Excellence in Allied Health’, sesuai dengan skop mereka untuk menyediakan dan memastikan kecemerlangan dengan bekerjasama dan merangsang perkhidmatan berkualiti kepada pelanggannya.

Sempena pelancaran persatuan ini, Forum Kesihatan Bersekutu turut diadakan di majlis berkenaan dengan mengetengahkan tema ‘R.E.A.C.H for Excellence in Allied Health’.

Forum berkenaan menampilkan tiga ahli panel yang terdiri daripada Pakar Ortoptik, Dr Siti Nurliyana binti Abdullah yang juga selaku Ketua Standard Latihan dan Amalan, Jawatankuasa Sementara bagi Majlis Profesional Kesihatan Bersekutu Brunei Darussalam; Pakar Ortoptik, Dayang Suhara Fazida binti Haji Mohd Yusop selaku Ketua Pengurusan Aduan dan Disiplin; dan Ahli Terapi Pekerjaan, Han Burt Lee, selaku Ketua Pengurusan dan Pentadbiran, jawatankuasa berkenaan.