Persatuan Lumba Perahu giat sertai kejohanan

Persatuan Lumba Perahu giat sertai kejohanan

Oleh Mohamad Asyramisyanie

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Jun – Persatuan Lumba Perahu Kebangsaan kini giat mengatur jadual bagi perlumbaan di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa dan antara yang terbesar ialah pengendalian perlumbaan sempena regata yang bakal diadakan pada Ogos 2016 ini nanti.

Perkara itu ditegaskan oleh Presiden Persatuan Lumba Perahu Kebangsaan Brunei Darussalam, Haji Haris bin Ibrahim sebelum menyatakan setakat ini dua pasukan lumba perahu tradisi sudah dihantar ke Palembang baru-baru ini dengan satu pasukan mencatatkan pingat dalam penyertaan itu membuktikan kemampuan anak tempatan dalam arena serantau dan antarabangsa.

Beliau juga mengalu-alukan para belia untuk cuba berjinak dengan sukan lumba perahu ini.

Menurutnya sukan ini bukan suatu yang mudah dan apa yang lebih menggalakkan baginya adalah penambahan lebih banyak pasukan swasta untuk menyertai kejohanan domestik.

“Persatuan akan terus membuat pemilihan bagi pasukan yang bakal membawa nama negara di peringkat antarabangsa berlandaskan garis pandu yang diberikan pihak Jabatan Belia dan Sukan terutama daripada aspek disiplin para pekayuh,” tegasnya.

Haji Haris ketika ditemui pihak media baru-baru ini.
Haji Haris ketika ditemui pihak media baru-baru ini.

Menurutnya lagi, Jabatan Belia dan Sukan memberikan sokongan padu kepada persatuan untuk membuat ujian dan pemilihan pemain yang berpotensi terutama setelah adanya senarai pemain yang dipilih dan ia membuktikan komitmen badan induk persatuan-persatuan itu kepada perkembangan sukan di negara ini bukan sahaja dalam acara lumba perahu.

Mengulas mengenai penyertaan pasukan lumba kayuh tradisi negara, Sukan Asia Tenggara sebagai acara terbesar dan menurutnya satu pasukan sudah ditubuhkan dan kini giat menjalani latihan dan semua senarai sudah ditetapkan dan akan diumumkan sedikit masa lagi.

“Kita sudah mendapat jurulatih dari Indonesia namun setelah beberapa isu dalaman kini pasukan negara dibimbing dua jurulatih tempatan iaitu Awang Samsul Abdul Rahman dan Awang Saini Hanif untuk membimbing pasukan negara dalam kejohanan yang bakal ditempuhi,” tambahnya.

Beliau menegaskan lagi, “Saya yakin dengan kebolehan para jurulatih yang disenaraikan begitu juga barisan pemain yang bakal membawa nama negara di peringkat serantau dan antarabangsa nanti dan saya yakin mereka ini juga sebanding dengan jurulatih di luar negara untuk memikul tanggungjawab menggalas pencapaian negara nanti.”

ARTIKEL YANG SAMA