Persatuan Meirek cadang pulihara bahasa ibundanya

Persatuan Meirek cadang pulihara bahasa ibundanya

MIRI, 3 Jun – Bahasa Meirek, satu daripada bahasa pertuturan yang tertua di dunia, akan didokumentasikan dalam usaha memulihara bahasa itu untuk rujukan generasi akan datang.

Presiden Persatuan Jatti Meirek Miri (PJMM), Datuk Abdillah Abdul Rahim berkata persatuan itu sedang bekerjasama dengan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Pustaka Miri bagi tujuan itu.

“Kami berharap kerjasama antara PJMM, Unimas, DBP dan Pustaka Miri boleh membantu usaha memartabatkan lagi bahasa dan budaya Meirek,” katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu ialah sempena mesyuarat agung ke-13 persatuan itu yang diadakan setiap tiga tahun di premis persatuan semalam.

Abdillah berkata persatuan itu merancang untuk mewartakan bahasa Meirek apabila dokumentasi itu siap.

Jatti Meirek ialah satu daripada komuniti tertua di negara ini dan dikatakan telah mendarat di Sarawak kira-kira 200 atau 300 tahun lalu dengan Miri dikatakan berasal dari perkataan “Meirek”.

Jumlah penduduk komuniti itu dikatakan lebih 10,000 orang, kebanyakannya menetap di utara Sarawak dan Brunei.– Bernama