Persatuan Pertiwi Belait sertai Jualan Amal

Persatuan Pertiwi Belait sertai Jualan Amal

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 5 Julai – Seramai 30 orang terdiri daripada kalangan kaum wanita ahli Persatuan Pertiwi Daerah Belait menyertai Aktiviti Tahunan Jualan Amal Menjelang Hari Raya Aidilfitri yang diadakan di Dewan Pejabat Daerah Seria, hari ini.

Jualan Amal kali ke-30, anjuran Persatuan Pertiwi cawangan Daerah Belait, merupakan projek tahunan sebagai salah satu usaha melakukan amal kebajikan di kalangan ahli-ahli persatuan tersebut, dengan 10 peratus daripada hasil jualan masing-masing akan disumbangkan untuk Tabung Anak-Anak Yatim Daerah Belait dan Tabung Amal Daerah Belait.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan pelancaran jualan tersebut hari ini ialah isteri Pegawai Daerah Belait, Dayang Suraya binti Haji Mohd Salleh, yang juga telah meluangkan masa menyaksikan jualan di setiap petak peserta jualan berkenaan.

Pengerusi Persatuan Pertiwi Daerah Belait, Dayang Fatimah binti Tanji, dalam ucapan alu-aluannya berkata, melalui jualan itu juga, selain berpeluang melakukan amal kebajikan, ahli-ahli persatuan juga berpeluang menjalankan perniagaan secara bermusim di bulan Ramadan, dan dapat menambahkan pendapatan masing-masing.

“Peserta bagi jualan ini juga telah kami pastikan untuk membuat pemeriksaan kesihatan dan menghadiri sesi taklimat Jabatan Kesihatan terlebih dahulu, termasuk melibatkan penyertaan jawatankuasa penyelaras projek ini, bagi memastikan jualan dikawal dari segi kebersihan dan kesihatannya,” katanya.

Dayang Suraya ketika menyaksikan pelbagai jenis kuih-muih di petak jualan amal, kelmarin.
Dayang Suraya ketika menyaksikan pelbagai jenis kuih-muih di petak jualan amal, kelmarin.

Pelbagai jenis biskut, kek, dodol, serunding, agar-agar kering dan sebagainya bagi hidangan di Hari Raya Aidilfitri boleh didapati di sepanjang jualan amal tersebut yang akan dibukakan setiap hari bermula 10 pagi hingga 10 malam dan akan berakhir pada malam melihat anak bulan Syawal.

“Selain jualan pelbagai jenis kuih dan makanan hidangan hari raya, jualan ini juga turut mengetengahkan jualan lainnya termasuk jambangan bunga, pakaian kanak-kanak dan dewasa, dan banyak lagi yang mungkin akan menjadi keperluan menjelangnya Aidilfitri nanti,” tambahnya.

Jualan tersebut juga turut bertujuan untuk memberikan peluang kepada kaum wanita yang tidak berkesempatan untuk membuat kuih sendiri bagi persiapan di Hari Raya, selain memberikan kemudahan kepada mereka yang berhajat untuk membuat kiriman kuih muih hari raya kepada anak-anak dan sanak-saudara mereka yang berada di luar negara dan sebagainya.

Menurut Dayang Fatimah lagi, kunjungan daripada orang ramai ke jualan mereka setiap tahun amat menggalakkan, terutama di saat-saat akhir tibanya hari lebaran, selain menambah, jualan seperti itu sudah tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat setempat termasuk para pengunjung dari negara jiran, serta para pelanggan mereka yang terdiri daripada berbilang kaum dan bangsa.

Pada tahun ini, turut menyerikan lagi jualan tersebut ialah jualan di dalam khemah yang juga disertai kalangan ahli-ahli persatuan itu, antaranya jualan barangan dan pakaian terpakai dan sebagainya dengan harga yang sangat berpatutan.

ARTIKEL YANG SAMA