Persediaan Festival B-14 AFC

Persediaan Festival B-14 AFC

Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Ogos – Kursus Pengadil AFC selama lima hari bermula hari ini diadakan sebagai persediaan untuk Festival Bolasepak Serantau Bawah 14 Tahun (B-14) AFC 2015 yang akan berlangsung dari 18 hingga 22 Ogos ini, di sini.

Kursus di NFABD House itu dirasmikan oleh Setiausaha Agung NFABD, Haji Muhd Zamri bin Dato Paduka Haji Hamdani pagi tadi. Hadir sama ialah Pengurus Festival AFC, Dr Shamil Kamil Mohammed dan Pengerusi Festival Muhammad Radzuan bin Haji Madali.

Kursus sehingga 16 Ogos yang disertai 14 orang pengadil dari Brunei Darussalam, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam itu dikendalikan oleh Instruktor FIFA, Mohamad Rodzali bin Yacob dari Malaysia dan Michael Hanania dari Palestin.

Haji Muhd Zamri dalam ucapan perasmiannya menyampaikan penghargaan dan rasa berbesar hati di atas peluang unik menjadi tuan rumah festival antarabangsa buat pertama kali.

Para peserta Kursus Persediaan Pengadil untuk Festival B-14 AFC bergambar ramai bersama Haji Mohd Zamri (tengah), Dr Shamil (empat kiri), Mohd Rodzali (empat kanan) dan Exco NFABD yang lain.
Para peserta Kursus Persediaan Pengadil untuk Festival B-14 AFC bergambar ramai bersama Haji Mohd Zamri (tengah), Dr Shamil (empat kiri), Mohd Rodzali (empat kanan) dan Exco NFABD yang lain.

Beliau berharap akan lebih banyak lagi acara bola sepak antarabangsa akan dianugerahkan kepada Brunei sebagai sebahagian daripada perkembangan cerah bola sepak di negara ini.

Haji Muhd Zamri menyeru semua peserta kursus untuk mengambil peluang itu dan menggunakan ilmu pengetahuan yang diperolehi ketika mengendalikan perlawanan semasa festival dan pada masa akan datang.

Dr Shamil memberitahu, festival itu merupakan pakej pembelajaran komprehensif kerana menyediakan pengalaman kepada para peserta selain peluang hebat untuk mengadili perlawanan bertaraf antarabangsa.

Beliau menasihatkan para peserta supaya berusaha keras dan bekerjasama sebagai satu pasukan di samping mengukuhkan tali persahabatan antara mereka semasa kursus dan mengendalikan perlawanan nanti.

“Senyum, yakin dan bina keyakinan. Bersiap-sedia untuk mencapai kejayaan daripada kursus ini pada festival itu nanti. Ini merupakan kursus pertama dan terakhir buat kamu. Maka rebutlah peluang berharga ini sebaik mungkin,” seru beliau.

Festival akan dirasmikan pada jam 4 petang, 18 Ogos di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah. Orang ramai dialu-alukan untuk hadir menyaksikan perlawanan hebat dan masuk adalah percuma.

ARTIKEL YANG SAMA