Persediaan ke Tanah Suci Mekah

Persediaan ke Tanah Suci Mekah

Oleh Anwar Rosly

 

BELAIT, 21 Mac – Sebagai persiapan untuk mengerjakan Umrah ke Tanah Suci Mekah nanti, seramai 30 orang bakal jemaah umrah telah menghadiri taklimat anjuran Syarikat Raudah Al-Amin Sdn Bhd di Dewan Mini Jabatan Belia dan Sukan cawangan Kuala Belait di sini, baru-baru ini.

Taklimat disampaikan oleh Pengarah syarikat, Haji Abdul Rahman bin Mat yang menjelaskan beberapa perkara kepada bakal-bakal umrah mengenai aktiviti serta pantang larang dan peraturan yang mesti diikuti apabila berangkat nanti.

Menurut beliau, taklimat itu diadakan untuk memberi kesedaran serta pemahaman dari segi peribadatan umrah agar jemaah serius dan fokus terhadap ibadah mereka supaya mereka akan sentiasa peka dan tahu akan adab-adab sewaktu berada di Tanah Suci Mekah.

Haji Abdul Rahman menyampaikan taklimat kepada bakal-bakal jemaah Umrah.
Haji Abdul Rahman menyampaikan taklimat kepada bakal-bakal jemaah Umrah.
Bakal-bakal jemaah Umrah yang menghadiri taklimat tersebut.
Bakal-bakal jemaah Umrah yang menghadiri taklimat tersebut.

Tambahnya, dengan cara ini ia akan meningkatkan pengetahuan serta pemahaman bakal-bakal umrah juga mengenai rukun-rukun wajib bagi memudahkan jemaah melakukan peribadatan dengan tenang, mengetahui serta mematuhi semua pantang larang ketika berihram, dan untuk sentiasa merujuk kepada ustaz yang disediakan oleh Syarikat Raudah Al-Amin jika terdapat sebarang kemusykilan dalam mengerjakan Umrah terutama semasa berada di Tanah Suci nanti.

Antara perkara yang disampaikan termasuk mengetahui kedudukan Masjid Nabawi di Madinah, pintu masuk berserta bacaannya, kawasan Raudah dan makam Rasulullah dan cara memberikan salam dan berdoa, cara-cara melakukan umrah di Mekah.

Bakal-bakal umrah dijangka akan berangkat ke Tanah Suci Mekah menaiki penerbangan Royal Brunei (RB) pada Sabtu depan.

ARTIKEL YANG SAMA