Persediaan kerohanian menjelang peperiksaan

Oleh Sahama

 

BANDAR SERI BAGAWAN, 11 Okt – Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Sungai Hanching, mengadakan majlis solat hajat dan membaca Surah Yasin bagi murid-murid Tahun 6 yang mengikuti kelas tambahan selepas menunaikan fardhu Maghrib.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman selaku penaung Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Sungai Hanching.

Majlis tersebut diadakan sebagai persediaan kerohanian sebelum menghadapi Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR) penghujung Oktober ini.

Murid-murid berkenaan mengikuti kelas tambahan di masjid itu bermula pada Februari lalu, bagi subjek Matematik, Sains, dan Bahasa Inggeris sahaja. Kelas tersebut melibatkan enam orang tenaga pengajar sukarela.

Turut hadir ialah Pegawai Hal Ehwal Masjid Kampung Sungai Hanching, Pengiran Mohd Akbar bin Pengiran Haji Sabri; ahli-ahli jawatankuasa takmir masjid, ibu bapa, pelajar-pelajar dan para jemaah.

Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi semasa menyertai majlis solat hajat dan membaca Surah Yasin anjuran Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Sungai Hanching, malam kelmarin.