Persediaan konvensyen perubahan iklim PBB

Persediaan konvensyen perubahan iklim PBB

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Okt – Sebagai persediaan sebelum Konvensyen Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sesi ke-20, Taklimat Pengenalan bagi Penyediaan Laporan ‘Intended Nationally Determined Contributions’ (INDC) bagi Brunei Darussalam telah diadakan di Dewan Indera Pahlawan, Pusat Kemahiran Kerja dan Latihan, Kementerian Pembangunan, hari ini.

Taklimat anjuran Kementerian Pembangunan itu dihadiri oleh Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) di Kementerian Pembangunan, Haji Muhammad Lutfi bin Abdullah.

Turut hadir ialah Pemangku Setiausaha Tetap (Teknikal dan Profesional) di Kementerian Pembangunan, Haji Marzuke bin Haji Mohsin yang dalam ucapannya memberitahu INDC menyumbang ke arah mencapai objektif penstabilan kepekatan gas rumah hijau di atmosfera pada tahap yang boleh menghalang bahaya antropogenik kepada sistem iklim.

Haji Muhammad Lutfi dan Haji Marzuke bersama tetamu yang lain semasa menghadiri sesi taklimat tersebut.
Haji Muhammad Lutfi dan Haji Marzuke bersama tetamu yang lain semasa menghadiri sesi taklimat tersebut.

Ia juga sebagai saluran bagi kerajaan untuk berkomunikasi di peringkat antarabangsa, tentang bagaimana cara mengurangkan pengeluaran untuk tempoh selepas 2020 yang mana INDC membolehkan negara-negara menunjukkan kepimpinan dalam menangani perubahan iklim ini.

Melalui INDC ini, tambah beliau, negara-negara termasuk Brunei Darussalam boleh menyesuaikan sumbangan kepada keutamaan, keupayaan dan tanggungjawab negara mereka sendiri.

Sesi taklimat pengenalan yang bertujuan untuk memberi pengetahuan dan maklumat mengenai INDC kepada kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan itu merangkumi peringkat pertama proses dan latihan dalam mempersiapkan INDC Brunei Darussalam.

ARTIKEL YANG SAMA