Persediaan laksana 3PSA

Persediaan laksana 3PSA

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Sept – Jabatan Perkhidmatan Pengurusan (MSD), Jabatan Perdana Menteri, baru-baru ini, telah mengadakan bengkel sebagai salah satu inisiatif di bawah Program Penggredan Prestasi Sektor Awam (3PSA) Melalui Penarafan Bintang yang telah dilancarkan pada Mac lalu.

Menurut kenyataan MSD di sini, Bengkel 3PSA itu dilaksanakan sebagai persediaan agensi-agensi yang akan dilaksanakan penilaian 3PSA secara formal oleh MSD pada tahun 2016.

Ia dibahagikan kepada dua sesi melibatkan 20 agensi yang banyak berurusan dengan orang ramai.

Sesi pertama bengkel telah berlangsung selama lima hari bermula 31 Ogos hingga 5 September lalu, manakala, sesi kedua pula bermula 14 September lalu dan akan berakhir esok.

Antara objektif bengkel ini adalah untuk membolehkan peserta memahami konsep dan kaedah penilaian 3PSA dan di akhir bengkel para peserta akan dapat melaksanakan penilaian kendiri mengikut garis panduan 3PSA MSD.

Gambar ramai yang mengikuti bengkel tersebut.
Gambar ramai yang mengikuti bengkel tersebut.

Sepanjang lima hari bengkel itu, para peserta ditunjuk ajar dan didedahkan kepada latihan seperti penggunaan senarai semak 3PSA, penyediaan draf laporan serta penyemakan dokumen-dokumen yang hendak dinilai. Sebaik sahaja berakhirnya bengkel ini, para peserta akan kembali ke agensi masing-masing untuk melaksanakan penilaian kendiri ke atas agensi mereka berpandukan kepada pengetahuan dan pengalaman yang mereka peroleh semasa menghadiri bengkel berkenaan.

Para peserta secara langsung bertindak sebagai kumpulan pegawai penilai bagi agensi mereka.

Selepas penilaian berkenaan, satu sesi khas akan diadakan bagi memberi peluang kumpulan pegawai penilai membentangkan penemuan penilaian kendiri 3PSA ke MSD sebelum draf laporan dihadapkan ke agensi masing-masing. Sebagai proses terakhir nanti, kumpulan berkenaan akan menghadapkan Laporan Muktamad 3PSA ke MSD.