Persediaan larian BIBD CE ALAF

Persediaan larian BIBD CE ALAF

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Okt – Acara amal yang dinanti-nantikan, Ekspedisi Amal BIBD untuk ALAF 2015 (CE ALAF) akan berlangsung pada 25 Oktober di Stadium Negara Hassanal Bolkiah dengan mengetengahkan acara perlumbaan separa maraton, larian 10 kilometer, 5 kilometer dan larian Fun Run 3 kilometer serta acara berbasikal.

Acara amal itu akan disertai oleh kira-kira 5,000 orang peserta dan dibantu oleh kira-kira 500 orang sukarelawan.

Sehubungan itu, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) mengumumkan laluan bagi acara larian dan berbasikal bagi Ekspedisi Amal BIBD, yang direka dan diiktiraf oleh Victory Athletes dan disokong serta diluluskan oleh Persatuan Atlet Brunei serta Pasukan Polis Diraja Brunei untuk memastikan bahawa laluan acara itu selamat untuk dilalui oleh para peserta CE ALAF.

Sebagai persediaan bagi acara itu, BIBD akan mengadakan hari mengambil pek perlumbaan bermula 16 hingga 18 Oktober ini di Stadium Tertutup, Berakas iaitu pada 16 Oktober dari pukul 9:30 hingga 11:30 pagi dan dari pukul 2:30 petang hingga 9 malam manakala pada 17 dan 18 Oktober, dari pukul 9:30 pagi hingga 9 malam.

Peta laluan bagi acara Larian 10 km
Peta laluan bagi acara Larian 10 km
Peta laluan bagi acara Larian 5 km
Peta laluan bagi acara Larian 5 km
Peta laluan bagi acara Fun Run 3 km
Peta laluan bagi acara Fun Run 3 km
Peta laluan bagi acara Perlumbaan Separa Maraton
Peta laluan bagi acara Perlumbaan Separa Maraton
Peta laluan bagi acara berbasikal
Peta laluan bagi acara berbasikal

Semasa pengambilan pek perlumbaan itu, para peserta yang berdaftar akan mendapatkan kemeja T CE ALAF, bib dan beg setelah mereka menunjukkan surat pendaftaran bersama kad sumbangan dan slip pembayaran.

Menurut BIBD lagi, selain itu, 1,500 orang pendaftar awal yang berjaya akan menerima beg CE ALAF terhad dan para peserta yang berjaya untuk mengutip sumbangan derma lebih daripada $100 akan menerima hadiah insentif iaitu hadiah korporat BIBD.

Semasa pengambilan pek perlumbaan itu, pelbagai gerai jualan juga disediakan yang akan menawarkan produk-produk mereka dengan tawaran yang istimewa bagi para peserta CE ALAF dengan para penjual yang akan mengambil bahagian termasuk Victory Athletes, Aewon, Polar, The Marathon Shop dan Raw Food Asia.

Dalam hubungan itu, pihak BIBD mengalu-alukan orang ramai untuk hadir memeriahkan lagi acara CE ALAF itu nanti di mana pelbagai kegiatan riadah disediakan untuk seisi keluarga sambil beramal.

Semasa CE ALAF itu nanti, acara jualan Bazar Amal akan diadakan yang dibuka bermula pukul 6 pagi hingga 2 petang dengan bazar itu disertai oleh sebanyak 40 penjual produk pakaian dan makanan yang popular termasuk Coffee Bean & Tea Leaf, KFC, Jollibee, Baker Blush, Kapow Burger dan banyak lagi.

Untuk membuat pembelian di gerai-gerai jualan, pengunjung perlu membeli kupon yang digunakan oleh kesemua penjual semasa bazar amal itu.

Kupon-kupon berkenaan boleh dibeli semasa hari mengambil pek perlumbaan pada 16 hingga 18 Oktober dan juga semasa acara CE ALAF pada 25 Oktober nanti.

Selaras dengan matlamat penganjuran CE ALAF, sebahagian daripada hasil kutipan yuran dan jualan Bazar Amal itu nanti akan disumbangkan ke Tabung ALAF BIBD.

ARTIKEL YANG SAMA