Persediaan menjelang BFL 2016

Persediaan menjelang BFL 2016

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Jan – Dengan Liga Futsal Brunei (BFL) 2016 semakin mendekat, yang dijangka bermula awal Mac nanti, pasukan-pasukan yang sudah terpilih menyertainya kini semakin giat berlatih dan mengadakan perlawanan persahabatan.

Antara pasukan yang mengadakan perlawanan persahabatan sesama mereka dengan mengadakan Perlawanan Futsal Persahabatan 4-Penjuru BFL2016 ialah Shah United FC, Mixed Star FT dan Syahkampong.

Perlawanan persahabatan di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu bukan saja sebagai persiapan pasukan-pasukan itu menghadapi BFL2016 tetapi juga untuk menjalin persahabatan di antara pemain dan pihak pengurusan ketiga-tiga buah pasukan yang dilatih oleh jurulatih pengambilan pertama Kursus Futsal FIFA 2014.

Dalam perlawanan persahabatan itu, Syahkampong dan Mixed Star FT masing-masing menghantar sebuah pasukan, manakala Shah United FC menghantar dua buah pasukan iaitu sebuah pasukan terdiri daripada pemain utama dan sebuah pasukan lagi dibarisi pemain ‘trial’ (uji cuba).

Para pemain Shah United FC (biru & merah jambu), Syahkampong (ungu kuning) & Mixed Star FT (hijau) bergambar ramai semasa perlawanan persahabatan itu.
Para pemain Shah United FC (biru & merah jambu), Syahkampong (ungu kuning) & Mixed Star FT (hijau) bergambar ramai semasa perlawanan persahabatan itu.

Dalam BFL 2016 nanti, Shah United yang merupakan naib juara BFL 2015 akan bertarung dengan sembilan pasukan lain dalam Liga Super manakala Mixed Star FT dan Syahkampong akan bersaing dengan lapan pasukan lain dalam Liga Perdana.

Sembilan lagi pasukan dalam Liga Super BFL 2016 ialah Kota Junior (juara bertahan), MS ABDB (tempat ketiga BFL 2015), Arbisyam FC, PBDB FT, Rizfiz FT, Street United FT, Pega Star FC, BIO FT (juara Futsal Piala Perdana 2015) dan Star Madang (naib juara Futsal Piala Perdana 2015).

Manakala lapan lagi pasukan dalam Liga Perdana BFL 2016 ialah Silveredz FT, BSRC FT, MBS Utd SC, Kota Ranger FT, 1st Five FT, BMB FT, Hi-Tune SC, Creativol dan XII Brothers.

ARTIKEL YANG SAMA