Persediaan sambut perayaan Hari Keputeraan

Persediaan sambut perayaan Hari Keputeraan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Jun – Bendera Negara Brunei Darussalam akan mula berkibar megah dengan seluruh rakyat dan penduduk di negara ini bersedia untuk sama-sama meraikan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-70 Tahun.

Sambutan perayaan itu merupakan acara yang mempunyai signifikan kenegaraan yang murni dan semangat patriotisme yang tinggi di mana seluruh rakyat dan penduduk di negara ini mendoakan bagi kesejahteraan dan keselamatan raja dan negara.

Sehubungan itu, latihan penuh Upacara Pengibaran Bendera Besar Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-70 Tahun telah diadakan di Kawasan Lapang Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan, hari ini.

Bendera besar Negara Brunei Darussalam yang dikibarkan semasa latihan berkenaan.
Bendera besar Negara Brunei Darussalam yang dikibarkan semasa latihan berkenaan.

Hadir bagi menyaksikan latihan berkenaan ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Haji Mohd ‘Abdoh bin Dato Seri Setia Haji Abdul Salam, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Upacara Pengibaran Bendera Besar Negara Brunei Darussalam Sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-70 Tahun.

Turut hadir ialah ahli-ahli Jawatankuasa Upacara Pengibaran Bendera Besar Negara Brunei Darussalam, timbalan-timbalan setiausaha tetap di KHEDN, para pegawai KHEDN dan Jabatan Adat Istiadat Negara serta pegawai daerah dan pemangku pegawai daerah.

ARTIKEL YANG SAMA