Persediaan sebelum dibebaskan

Persediaan sebelum dibebaskan

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Ogos – Dalam usaha membekalkan para banduan pengetahuan pertanian, Bahagian Pemulihan Latihan Vokasional Penjara Jerudong menambahkan Projek Penanaman Pokok Durian Salat dan Longan bertempat di penjara itu.

Majlis penanaman dilancarkan oleh Pemangku Pengarah Penjara, Haji Ismail bin Haji Murat dan turut dihadiri oleh Pemangku Timbalan Jabatan Penjara Poh Eng Hua, Pegawai Memerintah Penjara Jerudong, Awang Aliakbar bin Haji Ludin, ketua-ketua pengurusan dan pegawai serta kakitangan jabatan penjara.

Projek penanaman ini merupakan kesinambungan daripada projek yang dijalankan oleh Unit Pertanian dan Ternakan Penjara Jerudong pada tahun ini dimulai dengan penanaman Lada Kulai yang menggunakan sistem fertigasi pada 10 Februari lalu dan seterusnya projek penanaman pokok Limau Kasturi pada 16 April lalu.

Penanaman pokok-pokok dipilih oleh Unit Pertanian dan Ternakan Penjara Jerudong ini merupakan jenis yang mendapat permintaan tinggi dalam kalangan orang ramai pada masa ini.

Selain sebagai program pemulihan latihan vokasional dan pembelajaran kepada para banduan, ia juga diharap dapat dijadikan hasil kerajaan apabila dipasarkan kelak.

Selain itu, kerjasama juga dimeterai antara Jabatan Penjara dan Jabatan Pertanian bagi memberikan bantuan pengajaran secara berkala dua kali seminggu kepada banduan-banduan ini.

Dengan adanya program seumpama ini, banduan bukan sahaja dapat mempelajari bidang pertanian, malahan boleh membantu mereka berdikari apabila dibebaskan kelak.

ARTIKEL YANG SAMA