Persediaan timang cahaya mata pertama

Persediaan timang cahaya mata pertama

MENJADI seorang ibu merupakan idaman bagi setiap wanita yang sudah berkahwin. Saat disahkan hamil adalah detik yang sangat indah.

Setentunya ibu tidak sabar untuk menanti kelahiran cahaya mata yang menjadi pengikat kasih sayang dengan suami.

Sebelum menyambut kehadiran orang baru, ibu harus membuat persiapan yang rapi baik daripada aspek fizikal, mental dan emosi.

Walaupun beberapa kali rawatan susulan dilakukan dan anda telah difahamkan boleh bersalin normal, namun jalan selamatnya anda tetap perlu peruntukan wang untuk hal-hal kecemasan. Ada kalanya saat akhir berlaku hal yang tidak dijangka dan anda perlu untuk menjalani pembedahan, kos yang diperlukan adalah tinggi. Jadi lebih baik anda dan pasangan membuat tabungan awal untuk kos kelahiran.

Ibu harus membuat persiapan yang rapi baik daripada aspek fizikal, mental dan emosi sebelum melahirkan anak.
Ibu harus membuat persiapan yang rapi baik daripada aspek fizikal, mental dan emosi sebelum melahirkan anak.

Rancang dan tempah di mana tempat untuk anda melahirkan anak anda itu nanti sama ada di pusat perubatan swasta mahupun hospital kerajaan. Pilihan perlu dilakukan berdasarkan kepada kemampuan kewangan dan beberapa faktor lain seperti keadaan kandungan, jarak kediaman dan kemudahan pusat perubatan.

Pastikan hospital atau pusat perubatan yang dipilih memiliki kelengkapan yang memuaskan. Bimbang jika berlaku kecemasan ketika kelahiran, lokasi yang anda pilih tidak mempunyai kemudahan yang lengkap.

Kelas Antenatal pula dapat memberikan pendedahan kepada anda mengenai ilmu penjagaan diri, anak dan persediaan diri.

Ilmu, perkongsian dan pengalaman menerusi kelas ini dapat membantu anda agar lebih bersedia untuk menerima kehadiran cahaya mata. Buat persediaan secukupnya sejak dari awal kehamilan lagi. Sekiranya anda bercadang untuk menyusukan anak damit secara eksklusif apabila dia lahir, persiapkan diri.

Pastikan anda mengamalkan pemakanan yang seimbang agar air susu banyak dan ia membekalkan nutrien yang diperlukan oleh anak damit. Penyusuan dalam tempoh satu jam pertama selepas kelahiran adalah sangat penting kerana ia dapat menyalurkan kolostrum yang menjadi imunisasi semula jadi pertama kepada anak damit.

Antara risiko kehamilan adalah seperti tiadanya kemajuan dalam pembesaran saiz serviks biarpun telah dibantu dengan ubat penguat kontraksi, janin mengalami masalah antaranya bekalan oksigen tergendala, saiz anak damit yang terlalu besar, kedudukan anak damit yang songsang dan banyak lagi.

Anda harus bersedia untuk melahirkan anak secara pembedahan, kawal emosi dan kuatkan mental untuk menghadapinya. Semakin menghampiri waktu bersalin, anda perlu untuk menyiapkan semua kelengkapan yang perlu anda bawa ke hospital.

Senaraikan barang-barang keperluan agar tidak tercicir. Letakkan semua barangan itu ke dalam beg dan pastikan anda membawa beg ini ke hospital. Bukan sahaja kelengkapan anda, kelengkapan untuk anak juga perlu disediakan. Contohnya sehelai baju, topi, napkin dan lampin pakai buang yang perlu dibawa secukupnya ke hospital. Ini adalah untuk kegunaan ketika anda dan anak damit masih berada di hospital.