Persefahaman kepelbagaian etnik tunjang kekuatan negara

Persefahaman kepelbagaian etnik tunjang kekuatan negara

KOTA KINABALU, 12 Julai (Bernama)  – Ketua Pegawai Eksekutif Society Empowerment and Economic Development of Sabah (SEEDS) Dr Arnold Puyok berkata tunjang kekuatan negara terletak pada kepelbagaian etnik, agama dan rakyat hidup bersatu padu.

Katanya, kekuatan kepelbagaian itu perlu dijaga demi menjamin masa depan generasi akan datang.

“Kekuatan kita ini perlu dijaga, kalau benar-benar mahu jadi sebuah negara yang maju dan stabil dari segi politik, ekonomi dan sosial maka persefahaman daripada kepelbagaian agama dan bangsa itu perlu dikekalkan dan dipertahankan sampai bila-bila,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis bersungkai (berbuka puasa) bersama SEEDS, di sini malam tadi.

Arnold berkata satu daripada cara untuk menyemai benih kesedaran dan semangat perpaduan itu adalah menggalakkan pemahaman asas serta menghormati perbezaan agama dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini.

“Seperti dalam majlis ini, kami menjemput rakan-rakan berbeza agama untuk berbuka puasa bersama-sama dan menerusinya kami berharap dapat berkongsi pengalaman dan membina penerimaan mereka yang lain agama,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusinya Datuk Badil Zaman berkata masyarakat yang baik dan berdisiplin tidak dapat diwujudkan jika tercetusnya konflik dalam negara.

“Kita tahu kekuatan Malaysia adalah kepelbagaian masyarakat serta agama, dan menerusi kepelbagaian itu kita boleh berkongsi dan menerima pengalaman masyarakat masing-masing, sekali gus membentuk pembangunan negara yang kukuh tanpa konflik,” katanya.

Menurutnya, konflik negara perlu dihindarkan kerana pasti meninggalkan kesan buruk kepada negara dan masyarakat.