Persekolahan: Satu cabaran terbesar di Bulgaria

PLOVDIV, Bulgaria – Sekumpulan tentera kecil terdiri daripada guru-guru, pekerja sosial dan pegawai-pegawai polis berada di Bulgaria untuk menjalankan satu tugas yang sangat besar – meyakinkan puluhan ribu ibu bapa masyarakat Roma agar menghantar anak-anak mereka ke sekolah.

Ia adalah sebahagian daripada inisiatif terbaru di negeri itu dalam menangani masalah buta huruf dan jumlah kehamilan remaja yang tinggi dalam komuniti miskin, yang menyumbang 10 peratus daripada tujuh juta penduduk Bulgaria.

Kira-kira 130,000 kanak-kanak tidak menghadiri sekolah di Bulgaria, kata Menteri Pelajaran Krasimir Valchev memberitahu wartawan baru-baru ini. Majoriti mereka adalah masyarakat Roma.

Untuk mengembalikan trend tersebut, kerajaan telah mengarahkan lebih daripada 1,000 pasukan pakar untuk mengembara ke seluruh negara, negara anggota termiskin di EU, dan memberi taklimat kepada keluarga-keluarga masyarakat Roma.

Tapi pencarian mereka yang berhenti sekolah, atau mereka yang tidak pernah menghadiri sekolah sama sekali, adalah satu pertempuran yang berat. Daripada tujuh buah rumah yang dikunjungi oleh salah satu pasukan AFP yang disertai mereka baru-baru ini – di kawasan masyarakat Roma terbesar di Bulgaria, di selatan bandar Plovdiv – mendapati bahawa hanya Zatie Marinova adalah satu-satunya ibu bapa yang membuka pintu untuk mereka.

Guru-guru dan pekerja sosial berada di kawasan kejiranan Roma, Stolipinovo di bandar Plovdiv. – AFP
Guru-guru dan pekerja sosial yang merupakan sebahagian daripada pasukan kemasukkan kanak-kanak dan pelajar-pelajar ke dalam sistem pendidikan, bercakap kepada kanak-kanak yang berada di kawasan kejiranan Roma, Stolipinovo di bandar Plovdiv. – AFP

“Kami akan mendaftarkannya di sekolah di sini jika bapanya tidak menelefon kami semula ke Jerman,” katanya, menunjuk kepada anak lelakinya, Orlin, 10.

Seperti kebanyakan masyarakat Roma, suami Marinova telah menghabiskan sepanjang tahunnya di negara-negara EU yang lebih kaya untuk mencari pekerjaan dan melarikan diri dari kemiskinan.

“Ramai kanak-kanak berhenti sekolah kerana mereka terlibat dalam kegiatan keluarga,” kata ahli sosiologi, Alexey Pamporov kepada AFP.

“Kanak-kanak perempuan menjaga adik-adik mereka dan anak-anak lelaki bekerja bersama bapa mereka dalam kerja-kerja pembinaan, sebagai contoh.”

Dalam kes lain, ibu bapa mungkin berada di rumah tetapi bersembunyi di belakang tirai tertutup apabila pakar-pakar datang menelefon atau memanggil mereka.

“Anak-anak yang kami cari boleh berada di sebelah rumah,” kata Teodora Krumova dari organisasi Amalipe, sebuah kumpulan hak utama masyarakat Roma.

“Ramai daripada ibu bapa merasa curiga terhadap orang yang tidak dikenali,” katanya.

Diskriminasi terhadap masyarakat Roma di Bulgaria telah meluas sejak kejatuhan komunisme pada tahun 1989, menjadikan mereka sangat terpinggir. Sekitar 22 peratus daripada masyarakat Roma adalah buta huruf dan hanya sembilan peratus mempunyai pendidikan menengah walaupun ia adalah wajib, dalam satu kajian terbaru baru-baru ini. Ramai yang tidak pandai berbahasa Bulgaria.

Ahli pakar melihat adanya hubungan langsung antara kurangnya persekolahan dan juga kadar kehamilan remaja yang tinggi. Dianggarkan 6,000 anak damit telah dilahirkan melalui ibu di bawah umur pada tahun lepas, salah satu daripada angka tertinggi blok itu.

Sebagai tindak balas terhadap cabaran-cabaran ini, gabungan pemerintah konservatif dan ultra-nasionalis telah memutuskan untuk menggunakan pendekatan ‘carrot-and-stick’ dalam kempen terbarunya. Di satu pihak, pihak kerajaan telah menawarkan kepada ibu bapa ‘pemanis’ seperti subsidi untuk alat-alat persekolahan, dan juga sokongan bagi pencarian pekerjaan – paparan jelas untuk masyarakat yang dilanda kemiskinan dan pengangguran.

Pada masa yang sama, Sofia mengancam untuk mengenakan denda dan menangguhkan faedah bagi ibu bapa yang gagal untuk mendaftarkan anak-anak mereka.

Seorang lelaki kelihatan bersama anaknya melintasi jalan di kawasan kejiranan Roma, Stolipinovo di bandar Plovdiv. – AFP
Guru-guru dan pekerja sosial menunggu untuk memberi taklimat kepada keluarga masyarakat Roma di salah sebuah bangunan perumahan di kawasan kejiranan Roma, Stolipinovo di bandar Plovdiv. – AFP

Ultra-nasionalis juga ingin melangkah lebih jauh dan mengenakan tindakan undang-undang pada mereka yang tidak menghadiri persekolahan.

Sementara itu, pasukan pakar, yang terdiri lebih dari 11,600 orang, lebih suka mengutamakan impak positif daripada model peranan yang terdapat dalam masyarakat Roma untuk menggalakkan perubahan.

Antaranya ialah Marcel Iliev, seorang warga Roma yang berusia 19 tahun dari bandar raya barat laut Montana telah menjawat biasiswa yang ditaja oleh kerajaan di England hasil daripada gred kecemerlangannya.

“Pendidikan adalah jalan menuju kejayaan dan dapat membantu anda keluar dari kepompong kemiskinan,” katanya kepada AFP dalam satu wawancara telefon baru-baru ini.

Kempen seluruh negara itu telah dilancarkan pada awal bulan September lalu dan ia adalah kali pertama di mana pihak polis dan pekerja sosial turut sama menyertai guru-guru bagi pemberigaan persekolahan. Setakat ini, kejayaannya agak perlahan.

Pada 10 Oktober lalu, pasukan itu telah mengadakan lawatan ke lebih 150,000 alamat, dan 12,146 kembali semula bersekolah. Lebih daripada 80 peratus rumah yang dikunjungi, kebanyakan kanak-kanak tinggal di luar negara.

Kualiti pendidikan yang kurang baik di kawasan kejiranan di Roma telah memburukkan lagi masalah ini, dengan ibu bapa mengatakan bahawa mereka tidak melihat sebarang faedah yang diperolehi jika mereka menghantar anak-anak mereka ke sekolah yang berkualiti buruk.

“Mereka tidak mengajar anak-anak kami dengan baik. Anak saudara saya baru menyelesaikan gred lapannya dan dia masih tidak pandai menulis namanya sendiri,” kata Raycho Krastev, bapa kepada tiga orang anak.

Bagaimanapun, pekerja di barisan hadapan seperti Krumova telah memuji inisiatif terbaru ini sebagai usaha konsisten kerajaan buat pertama kalinya sejak berakhirnya pemerintahan komunisme untuk membawa semua anak-anak ke sekolah.

“Keluarga yang merasa teragak-agak akan akhirnya berasa yakin,” katanya.

Cabaran terbesar ialah mereka yang “hidup dalam kemiskinan yang sangat teruk”, tambahnya, sementara pakar-pakar bersetuju bahawa mereka yang kembali ke bilik darjah tidak lagi menjadi suatu perkara yang sukar. – AFP