Persembahan air berirama dihidupkan kembali

Persembahan air berirama dihidupkan kembali

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Ogos – Taman Permainan Jerudong Park (JP), malam ini, menjadi tumpuan orang ramai yang ingin menyaksikan pembukaan semula pertunjukan pancuran air berirama terbaru di JP Garden.

Pertunjukan baru itu dibukakan untuk orang ramai yang membeli tiket dan bermula pada jam 8:30 malam.

Dengan pembukaan semula ini, ia akan dimainkan dua kali dalam sehari hanya pada Jumaat sehingga Ahad dengan setiap pertunjukan mengambil masa kira-kira 20 hingga 30 minit dalam satu sesi sebelum meneruskan sesinya yang kedua pada jam 9:15 malam.

Pertunjukan pancuran air berirama buatan Eropah ini merupakan pengganti pancuran air berirama yang lama, dan dengan saiz yang menyamai kolam Olimpik, ia menampilkan pertunjukan pergerakan air yang berbeza, malah boleh menyembur air setinggi 15 meter menggunakan jet air terkini.

Selain daripada persembahan yang bakal memukau penonton, pertunjukan berkenaan juga menggunakan elemen laser yang tidak pernah disaksikan pada persembahan air berirama sebelum ini.

Suasana Jerudong Park yang dikunjungi orang ramai bagi menyaksikan Musical Fountain baru di JP Garden.
Suasana Jerudong Park yang dikunjungi orang ramai bagi menyaksikan Musical Fountain baru di JP Garden.
Pancuran air mengikut rentak muzik yang dimainkan.
Pancuran air mengikut rentak muzik yang dimainkan.
Salah satu corak yang dihasilkan oleh pancuran air itu.
Salah satu corak yang dihasilkan oleh pancuran air itu.

Di samping itu juga, orang ramai dapat menikmati pertunjukan berkenaan sambil mendengarkan beberapa pilihan lagu yang dihasilkan oleh Leiley Production House, sebuah produksi tempatan yang menghasilkan lagu-lagu tradisional klasik versi yang diubahsuai untuk generasi baru dan lama.

Kini, JP beroperasi selama empat hari seminggu, Khamis hingga Ahad bagi kesemua permainan kecuali pertunjukan pancuran air berirama yang hanya diadakan setiap Jumaat hingga Ahad dan bermula semalam (11 Ogos), JP telah memperkenalkan harga tiket berharga $2 setiap seorang untuk masuk ke kawasan permainan JP.

ARTIKEL YANG SAMA