Persembahan kebudayaan yang mempesonakan

Persembahan kebudayaan yang mempesonakan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Nov – Kira-kira 3,000 penonton terpegun dan terhibur dengan persembahan menawan lagi bertenaga daripada kumpulan pelajar-pelajar Sekolah Menengah Chung Hwa, Bandar Seri Begawan di Persembahan Kebudayaan Malam Persahabatan yang berlangsung di Jerudong Park Amphitheatre, Jerudong, malam tadi.

Hadir selaku tetamu kehormat dan sama-sama menyaksikan persembahan kebudayaan itu ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman dan isteri.

Turut hadir menyaksikan persembahan itu ialah Presiden Persatuan China-ASEAN, Gu Xiulian serta wakil-wakil daripada persatuan-persatuan persahabatan ASEAN.

Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi dan isteri bergambar ramai dengan para peserta persembahan di akhir persembahan itu.
Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi dan isteri bergambar ramai dengan para peserta persembahan di akhir persembahan itu.
Antara persembahan daripada pelajar-pelajar Sekolah Menengah Chung Hwa, Bandar Seri Begawan, yang menarik dan memukau penonton.
Antara persembahan daripada pelajar-pelajar Sekolah Menengah Chung Hwa, Bandar Seri Begawan, yang menarik dan memukau penonton.

Persembahan anjuran bersama oleh Persatuan Persahabatan Brunei-China dan Sekolah Menengah Chung Hwa, Bandar Seri Begawan itu antara lain bertujuan mempromosikan pertukaran kebudayaan antara kedua-dua buah negara dan diadakan bersempena dengan Persidangan Persahabatan Rakyat ASEAN-China ke-10 yang berlangsung di sini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Dr. Firdaus bin Abdul Rahman, kepelbagaian budaya merupakan satu khazanah yang amat berharga serta adalah amat penting untuk dikongsi bersama supaya mampu menjana kefahaman dan persahabatan di kalangan masyarakat.

Pada masa yang sama, beliau turut menyatakan penghargaan kepada para pelajar Sekolah Menengah Chung Hwa, Bandar Seri Begawan di atas persembahan mereka dan juga usaha untuk mempromosikan pertukaran kebudayaan itu.

ARTIKEL YANG SAMA