Persembahan keempat-empat daerah memuaskan

Persembahan keempat-empat daerah memuaskan

Oleh Mohamad Asyramisyanie, Imelda Groves HA, Sim YH dan Yusrin Junaidi

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Ogos – Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah bersama Rakyat dan Penduduk sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di keempat-empat daerah berakhir di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, di ibu negara, hari ini.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, semasa ditemui di majlis itu berkata majlis di keempat-empat daerah menampakkan satu kejayaan tidak kurang daripada yang dicapai pada tahun-tahun lepas

Menurut beliau, corak persembahan tahun ini banyak menampakkan pembaharuan dan lebih banyak penglibatan pelbagai peringkat dalam persembahan pentas dan sebagainya.

“Penglibatan golongan muda dan belia negara ini sangat menggalakkan dan dengan adanya pasukan yang mantap seperti ini saya berharap mereka akan lebih fokus dalam aspek persembahan di masa akan datang namun pada saya persembahan yang dipamerkan setakat ini adalah berjaya,” ujarnya.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Badaruddin ketika ditemu bual kelmarin.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Badaruddin ketika ditemu bual kelmarin.

Yang Berhormat Pehin juga meluahkan perasaan gembira apabila seruan titah Baginda Sultan dijunjung terutama dalam melibatkan semua lapisan masyarakat terutamanya anak-anak sekolah, remaja, belia sehingga kepada peringkat akar umbi serta pimpinan untuk turut serta menjayakan majlis ini.

“Mereka ini berperanan untuk melakar jalan di masa hadapan dan melihat kepada semangat mereka, hari ini, ia mempamerkan kekukuhan dan perpaduan yang meyakinkan kita untuk menempuh masa depan yang lebih panjang bagi Brunei, Insya-Allah,” tambah beliau.

Ditanya mengenai pemerhatiannya di keempat-empat daerah dan persembahan yang paling disukai, Yang Berhormat Pehin menegaskan “semua persembahan adalah menarik” dan menyukai kesemuanya sekali, ujarnya sambil tersenyum.