Persembahan menarik hiasi malam perayaan di Belait

Persembahan menarik hiasi malam perayaan di Belait

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 16 Ogos – Acara Malam Kebudayaan Mukim Seria, anjuran Majlis Perundingan Mukim Seria telah memulakan Malam Perayaan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-69 Tahun bagi Daerah Belait, malam tadi.

Acara yang diadakan di Pentas Perayaan di kawasan lapang Gerai Tudung Saji, Jalan Setia Negara itu telah mengetengahkan pelbagai persembahan berbentuk kebudayaan melibatkan kalangan ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung (MPMK) serta para pelajar sekolah.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd, Haji Ismail bin Rejab.

Turut hadir ialah pengerusi majlis mewakili penghulu Mukim Seria, Awang Zaleha bin Lahap serta beberapa pegawai dari Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.

Berbagai-bagai persembahan menarik telah mengisikan acara itu antaranya tarian kebudayaan oleh murid-murid Sekolah Rendah Panaga Seria, tarian tradisi pelajar Sekolah Menengah Chung Ching Seria dan persembahan wushu daripada Persatuan Wushu Mukim Seria.

Persembahan daripada Persatuan Wushu MPM Seria.
Persembahan daripada Persatuan Wushu MPM Seria.

Turut diketengahkan ialah persembahan nyanyian dan deklamasi sajak serta syair oleh para pelajar Maktab Anthony Abell Seria, persembahan Silat Warisan Pelangi Mukim Seria, persembahan nyanyian Kaum Iban dan Dayak serta persembahan Ngajat oleh kaum Iban dan Dayak serta bermacam-macam lagi.

Tarian joget Melayu juga tidak ketinggalan menyerikan lagi acara persembahan tersebut yang telah dikendalikan antara lain bertujuan untuk bersama-sama menyemarakkan sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, dan untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara ahli-ahli MPM Seria dan masyarakat setempat.

Acara pementasan diteruskan lagi malam ini sehingga penghujung bulan Ogos ini, dengan pelbagai persembahan yang menarik untuk ditonton oleh semua lapisan masyarakat di daerah ini khususnya.

Antaranya termasuklah Malam Kugiran, pada malam ini, anjuran Zairock Musical Production, diikuti Malam Persembahan Aneka Warna pada malam esok oleh Persatuan Pertiwi, Persatuan Kebajikan Perempuan Belait dan Persatuan WI.

Diikuti kemudiannya pada 24 Ogos dengan Persembahan Malam Perpaduan Antarabangsa anjuran Canang Citra Event Management Services, dan Pentarama daripada Jabatan Penerangan pada 29 Ogos serta banyak lagi acara-acara pementasan lainnya sepanjang malam sempena sambutan perayaan ini, yang telah bermula kelmarin.

Di samping persembahan pementasan, gerai-gerai perayaan turut dibukakan bagi kunjungan orang ramai di kawasan Gerai Tudung Saji, pada setiap malam.

ARTIKEL YANG SAMA