Persembahan orkestra bakal memukau 22 Okt ini

Persembahan orkestra bakal memukau 22 Okt ini

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Okt – Alunan muzik yang menawan dan indah serta persembahan yang penuh bertenaga bakal menanti serta menambat hati para penonton yang hadir untuk menyaksikan persembahan Kumpulan Orkestra Baltic Neopolis semasa Toyota Classics 2016 yang dijadualkan berlangsung di Pusat Kesenian, Sekolah Antarabangsa Jerudong pada 22 Oktober nanti.

Persembahan orkestra dan muzik klasik itu merupakan konsert amal yang dibawakan khas bagi para penggemar muzik klasikal di Brunei oleh Toyota Motor Asia Pacific Pte Ltd dan NBT (Brunei) Sdn Bhd buat kali ke-22.

Persembahan yang bakal bermula pukul 8.30 malam itu, mengetengahkan pemuzik-pemuzik yang berpengalaman iaitu Orkestra Baltic Neopolis dari Poland, di mana kumpulan orkestra berkenaan mula membuat persembahan di sekitar Eropah pada 2008.

Di samping itu, persembahan itu nanti, bakal mengetengahkan dua orang pemuzik solo yang amat berbakat dan terkenal iaitu Vasko Vassilev dan Pamela Tan Nicholson yang kembali untuk membuat persembahan dalam konsert Toyota Classics mereka buat kali ke-3.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh NBT (Brunei) Sdn Bhd, hari ini, kumpulan orkestra itu akan membuat persembahan istimewa di mana mereka bukan sahaja akan memainkan pelbagai pilihan muzik klasik tetapi juga akan menyanyikan lagu-lagu popular operasi termasuk Puccini’s Madame Butterfly, Turandot, Verdi’s La Traviati dan Bizet’s Carmen.

Di samping itu, buat kali pertamanya, kumpulan koir tempatan dari Brunei akan mendendangkan lagu yang digubah khusus oleh Pamela bertajuk ‘ASEAN Harmony’ dan semasa konsert itu juga, orkestra berkenaan juga akan mendendangkan dua lagu tradisional Brunei iaitu Jong Sarat dan Ya Hayu Ya Qay yum.

Sehubungan dengan itu, pihak penganjur mengalu-alukan orang ramai yang berminat untuk menyaksikan persembahan menarik daripada kumpulan orkestra terkenal itu, dan tiket boleh dibeli di dewan-dewan pameran Toyota dan Lexus.

Tiket bagi persembahan berkenaan adalah terhad dan kesemua hasil kutipan dari jualan tiket akan disumbangkan kepada badan-badan kebajikan tempatan.

ARTIKEL YANG SAMA