Persembahan sempurna kunci Juve hadapi Real – Tevez

Persembahan sempurna kunci Juve hadapi Real – Tevez

TURIN, Itali, 5 Mei (AFP) – Pemain penyerang Carlos Tevez percaya persembahan sempurna Juventus adalah kunci mereka untuk menghoskan juara bertahan, Real Madrid dalam perlawanan pertama separuh akhir Liga Juara–Juara hari ini.

Tevez adalah pemain penting bagi gergasi Turin musim ini dan telah menjaringkan 20 gol setakat ini dalam laluannya untuk memenangi gelaran Serie A kedua di Itali.

Selepas mengetepikan persoalan mengenai masa depannya di Juve – Tevez dikaitkan dengan perpindahan semula ke kelab Boca Juniors – pemain dari Argentina itu menukar tumpuannya kepada perlawanan di Stadium Juventus hari ini.

“Ia pertemuan sukar, terbuka dan persaingan separuh akhir yang sengit. Saya tidak rasa ada pasukan pilihan yang jelas, pasukan yang kurang melakukan kesilapan akan menang,” kata Tevez, yang mengakui tarikan kepada kejayaan Liga Juara-Juara melengkapkan perpindahannya ke Juventus pada 2013.

Setelah menjulang trofi bersama Manchester United pada 2008, Tevez memburu mahkota Liga Juara–Juara keduanya.

Carlos Tevez (kanan) dan Massimiliano Allegri mengadakan sidang akhbar di Turin menjelang pertemuan separuh akhir Liga Juara-Juara menentang Real Madrid. – AFP
Carlos Tevez (kanan) dan Massimiliano Allegri mengadakan sidang akhbar di Turin menjelang pertemuan separuh akhir Liga Juara-Juara menentang Real Madrid. – AFP

Real dijangka akan mara ke final tahun ini di Berlin setelah memenangi rekod ke-10 bagi gelaran itu pada tahun lepas dengan membenam Atletico Madrid 4-1.

Keyakinan dalam kem Juventus adalah tinggi selepas jurulatih Massimiliano Allegri membawa Bianconeri menjulang gelaran Serie A ke-31 Sabtu lalu menerusi kemenangan 1-0 di Sampdoria.

Tetapi Juve masih lagi pasukan bawahan dalam empat kelompok teratas yang menempatkan Barcelona dan Bayern Munich, yang akan bersaing esok. Allegri, 48, mengakui ia akan memberikan fokus persembahan untuk mendapatkan sesuatu dari Real sebelum perlawanan ulangan di Santiago Bernabeu pada 13 Mei.

“Saya rasa kami perlu sedar terhadap apa yang dicapai setakat ini dan siapa yang akan kami saingi – pasukan terhebat,” kata Allegri.