Persembahan solo pertama selepas latihan selama sedekad

Persembahan solo pertama selepas latihan selama sedekad

BANDAR SERI BEGAWAN – Andrew Tiong Jia Siang, seorang pelajar daripada Expression Music Academy telah mempersembahkan sebuah persembahan piano secara solo di hadapan khalayak penonton di akademi itu, baru-baru ini.

Ia merupakan persembahan sulung utama selepas lebih sedekad mengikuti kursus latihan hingga mencapai gred lapan dan lulus dalam peperiksaan Trinity UK.

“Saya berhasrat untuk meneruskan pengajian dalam bidang muzik hingga ke peringkat diploma selepas menduduki peperiksaan ‘O’ Level pada tahun hadapan”, jelas beliau.

Beliau turut menyatakan bahawa peluang untuk melakukan persembahan solo pertama merupakan satu peluang keemasan walaupun menyedari agak gementar pada peringkat permulaan namun tetap berkeyakinan untuk melakukan setiap petikan piano dengan cukup baik.

Ibu bapa Andrew, William Tiong dan Suzy Houng berasa cukup bangga dengan pencapaian yang ditonjolkan oleh anak mereka yang telah mengikuti kursus latihan piano sejak 10 tahun lalu iaitu ketika usia beliau masih muda lagi.

Andrew Tiong Jia Siang bergambar ramai bersama Pengarah Expression Music Academy, Lily Chiam, guru piano, Telmo D Zaldivar Jr, ibu bapa dan adik perempuannya.
Andrew Tiong Jia Siang bergambar ramai bersama Pengarah Expression Music Academy, Lily Chiam, guru piano, Telmo D Zaldivar Jr, ibu bapa dan adik perempuannya.

Pengarah akademi itu, Lily Chiam turut memuji sikap dedikasi yang dimiliki oleh Andrew sehingga berjaya menyelesaikan latihan piano selama 50 ke 100 jam sebelum melaksanakan persembahan solo pertama itu.

Telmo D Zaldivar Jr yang merupakan guru piano kepada Andrew percaya bahawa ketegasan dan desakan secara terkawal kepada pelajar mampu melahirkan seorang pelajar piano berjaya sebagaimana Andrew yang berjaya mencapai hingga gred lapan melalui latihan yang diikuti selama 10 tahun.

Dalam persembahan solo itu, Andrew telah mempersembahkan himpunan alunan piano klasik termasuk gaya petikan Air dan Variasi daripada Handel Suite No 5 dalam peringkat E major, Chopin Nocturne dalam peringkat D-flat major dan gaya petikan Menuetto dan Trio dari Beethoven’s Sonata dalam peringkat D major di hadapan khalayak penonton yang terdiri daripada para guru, ahli keluarga dan rakan-rakan.

Turut mengadakan persembahan pada malam itu ialah adik perempuan kepada Andrew iaitu Andrea Tiong Jia Yin.

ARTIKEL YANG SAMA