Persempadanan: Mahkamah tolak permohonan kebenaran merayu

Persempadanan: Mahkamah tolak permohonan kebenaran merayu

PUTRAJAYA, 15 Okt – Mahkamah Persekutuan di sini hari ini menolak permohonan kebenaran untuk merayu oleh seorang Anggota Dewan Undangan Negeri Sarawak dan seorang pengundi berhubung persempadanan semula kawasan pilihan raya negeri itu oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas memutuskan perkara itu bersifat akademik.

Berikutan itu, keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan notis SPR berkaitan cadangan persempadanan semula bagi kawasan pilihan raya di Sarawak dikekalkan.

SPR memohon untuk mewujudkan 11 kawasan pilihan raya baharu di Sarawak, meningkatkannya daripada 71 sekarang kepada 82.

Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif mempengerusikan panel tiga hakim yang sebulat suara menolak permohonan ADUN Batu Lintang See Chee How dan Pauls Baya, pengundi di Ulu Baram, bagi kebenaran untuk membawa kes mereka ke Mahkamah Persekutuan.

Beliau berkata pemohon tidak memenuhi keperluan minimum mengikut Seksyen 96 (a) dan Seksyen 96 (b) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 untuk diberi kebenaran merayu.

Hakim Raus berkata terdapat 15 persoalan undang-undang yang dikemukakan pemohon untuk ditentukan Mahkamah Persekutuan mempunyai kaitan dengan keputusan Mahkamah Tinggi.

Beliau berkata sungguhpun jika mahkamah memberi kebenaran dalam beberapa persoalan itu, pemohon berkemungkinan tidak mempunyai peluang untuk berjaya.

Dua lagi hakim yang bersidang dalam panel itu ialah Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Ahmad Maarop dan Tan Sri Abu Samah Nordin.

Peguam Kanan Persekutuan Amarjeet Singh dalam hujahnya pada Selasa (13 Oktober) berkata perkara itu menjadi akademik memandangkan laporan berkaitan cadangan itu dikemukakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 21 Ogos tahun ini untuk dibentangkan di Parlimen.

Pada 7 Ogos tahun ini, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan SPR untuk menolak keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan notis cadangan SPR itu atas alasan notis berkenaan kekurangan maklumat. – Bernama