Persempadanan selepas pindaan perlembagaan Sabah dikuatkuasakan

Persempadanan selepas pindaan perlembagaan Sabah dikuatkuasakan

PUTRAJAYA, 10 Ogos – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan memulakan kajian semula persempadanan bagi bahagian-bahagian pilihan raya di Sabah selepas pindaan Perlembagaan Negeri Sabah berhubung perkara itu dikuatkuasakan.

Pengerusi SPR Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata kajian itu akan bermula selepas notis kajian semula persempadanan dikeluarkan dan perlu disiapkan dalam tempoh tidak lebih dua tahun.

“Kajian ini hendaklah dibuat berlandaskan prinsip yang terkandung dalam Jadual Ke-13 Perlembagaan Persekutuan.

“Ini bagi memastikan setiap tambahan kerusi tersebut diwakili oleh ahli yang dipilih bagi setiap bahagian pilihan raya seperti pelaksanaan kajian semula persempadanan bagi Sarawak sebelum ini, selaras dengan Perkara 117 Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Semalam, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah meluluskan pindaan perlembagaan negeri itu bagi menambah 13 lagi kerusi DUN, daripada 60 kepada 73. – Bernama