Persepsi negatif tidak cerminkan pasaran pekerjaan – TalentCorp

Persepsi negatif tidak cerminkan pasaran pekerjaan – TalentCorp

CYBERJAYA, 19 Okt – Persepsi negatif terhadap keadaan ekonomi semasa Malaysia tidak mencerminkan senario pasaran pekerjaan yang sebenar.

Ketua Pegawai Eksekutif Talent Corporation Malaysia Bhd (TalentCorp) Johan Mahmood Merican berkata asas ekonomi negara masih kukuh dengan Keluaran Dalam Negara Kasar antara 4.0 peratus dan 5.0 peratus.

Katanya walaupun kadar pengangguran naik sedikit daripada 3.0 peratus kepada 3.2 peratus, kadar tersebut masih dianggap sebagai guna tenaga penuh.

“Keadaan ekonomi semasa kita masih terurus dan kerajaan memantau keadaan dengan teliti serta telah mengambil langkah-langkah awal.

“Ini termasuk meningkatkan kebolehpasaran graduan dengan mendaftar lebih ramai graduan untuk Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) dan Skim Pengurusan Kebolehpasaran Graduan (GEMS) daripada lebih 10,000 pada tahun ini kepada 15,000 pada 2016,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Johan berkata walaupun terdapat penyederhanaan dalam sektor tertentu, terutamanya dalam industri minyak dan gas apabila pengambilan pekerja terjejas disebabkan harga komoditi rendah, keadaan itu telah diimbangi oleh pertumbuhan dalam sektor lain.

Selain itu, katanya melalui kerjasamanya dengan JobStreet.com, TalentCorp memperoleh gambaran yang lebih baik mengenai pasaran pekerjaan berikutan syarikat pekerjaan dalam talian itu dapat mengesan jumlah pekerjaan yang diwujudkan.

Sementara itu, Pengurus Negara JobStreet.com Chook Yuh Yng berkata walaupun terdapat persepsi negatif terhadap ekonomi, jumlah pekerjaan yang dipaparkan di laman webnya lebih kurang sama dengan tahun lepas.

“Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, jumlah pekerjaan yang dipaparkan di JobStreet.com adalah 1.5 peratus lebih tinggi berbanding tahun lepas. Bagaimanapun, jumlah tersebut susut satu peratus pada suku ketiga tahun ini berbanding suku sama tahun lepas. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA