Persetujuan belum dipastikan

Persetujuan belum dipastikan

PARIS, 28 Julai (AFP) – Presiden Perancis Francois Hollande berkata semalam beliau akan memutuskan “pada minggu-minggu akan datang” sama ada membatalkan satu kontrak untuk membekal dua kapal perang kepada Rusia.

Nasib dua pengangkut helikopter Mistral telah mengganggu hubungan Perancis-Rusia lebih setahun lamanya, ekoran keputusan oleh Paris untuk membeku perjanjian bernilai 1.2 bilion euro ketika negara Barat mengenakan sekatan ke atas Moscow berhubung pemisahan Crimea dan sokongan terhadap pemberontak pemisah di Ukraine.

“Kami mempunyai tanggungjawab berkontrak,” beritahu Hollande kepada wartawan semalam, merujuk kepada perjanjian.

“Kami sedang mengadakan perbincangan yang memerlukan satu keputusan yang perlu diambil oleh saya, dan saya akan membuat keputusan tersebut pada minggu-minggu akan datang.”

Kapal pertama dijangka diserah pada 2014, manakala yang kedua dihantar pada tahun ini.

Hollande (atas tengah) ketika membuat lawatan terhadap latihan ketenteraan di pangkalan tentera laut Perancis. – Reuters
Hollande (atas tengah) ketika membuat lawatan terhadap latihan ketenteraan di pangkalan tentera laut Perancis. – Reuters

Presiden Rusia Vladimir Putin tidak menghebohkan kepentingan perjanjian 2011 dan mendakwa Rusia menempah mereka kebanyakannya untuk membantu limbungan kapal Perancis.

Bagaimanapun, pemimpin Kremlin itu menjelaskan bahawa Moscow masih ingin wangnya dikembalikan.

Menurut akhbar Rusia Kommersant, Perancis telah menawarkan untuk membatalkan kontrak Mistral dan membayar balik 785 juta euro kepada Moscow, dengan syarat Paris boleh mengeksport semula kapal tersebut.

Sementara Kommersant melaporkan Perancis bercadang untuk mengembalikan wang tunai yang dibayar setakat ini, Rusia ingin perbelanjaan lain dibayar balik, seperti kos latihan untuk krew dan pembinaan infrastruktur pelabuhan di Vladivostok, di mana kapal pertama daripada dua buah kapal berpangkalan.

ARTIKEL YANG SAMA