Persiapan akhir masyarakat Dayak sambut Gawai

Persiapan akhir masyarakat Dayak sambut Gawai

PADAWAN, 30 Mei – Dua hari menjelang sambutan Hari Gawai, masyarakat Dayak di negeri ini semakin sibuk membuat persiapan terakhir.

Tinjauan Bernama di Kampung Benuk di sini, kira-kira 40 kilometer dari bandar raya Kuching, mendapati masyarakat perkampungan Bidayuh itu sibuk membaiki struktur rumah panjang sebagai persediaan menyambut Hari Gawai.

Ini kerana, rumah panjang itu menjadi tempat berhimpun semua penduduk kampung dan tetamu mereka sepanjang perayaan itu.

Rabe Sabung, 66, berkata antara struktur yang dibaiki ialah ‘Tangyu’ (laluan pejalan kaki/tempat menjemur padi) yang diperbuat daripada buluh.

Penduduk Kampung Benuk bergotong royong memasang ‘Tangyu’ rumah panjang dengan buluh-buluh baharu sebagai persediaan menyambut Hari Gawai Dayak bermula Rabu ini. – Bernama
Penduduk Kampung Benuk bergotong royong memasang ‘Tangyu’ rumah panjang dengan buluh-buluh baharu sebagai persediaan menyambut Hari Gawai Dayak bermula Rabu ini. – Bernama

“Sejak lima hari lepas, tiga penduduk kampung ini mula melakukan kerja-kerja menukar buluh-buluh lama dengan yang baharu.

“Setiap kali sambutan Hari Gawai, rumah panjang ini menjadi tumpuan ratusan orang terdiri daripada penduduk kampung sendiri serta masyarakat luar yang datang untuk melihat sendiri kemeriahan sambutan,” katanya ketika ditemui di sini.

Hari Gawai Dayak disambut secara tradisinya sebagai tanda mensyukuri hasil tuaian padi dan kerajaan negeri Sarawak mengisytiharkan 1 dan 2 Jun setiap tahun sebagai cuti umum bagi meraikannya. – Bernama