Persiapan akhir menjelang musim persekolahan

Persiapan akhir menjelang musim persekolahan

Oleh Imelda Groves HA & Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Jan – Musim cuti persekolahan penggal akhir hampir berakhir dan di saat inilah para ibu bapa dan pelajar mula membuat persiapan akhir sebelum musim persekolahan kembali.

Kedai-kedai buku semakin sibuk, ibu bapa mula mendapatkan keperluan sekolah buat kali terakhir dalam memastikan semua persiapan tersedia rapi sebelum kembali ke sekolah pada 4 Januari 2016 ini.

Dalam kesibukan ini, wartawan Media Permata berkesempatan menemui sebilangan ibu bapa mengenai persiapan untuk anak-anak mereka.

Dayangku Mas Azean binti Pengiran Haji Mohd Yusof, 35, apabila ditanya mengenai persiapan buku anak sekolah, beliau menjelaskan bahawa beberapa buah buku mudah untuk didapati namun terdapat beberapa buku lagi masih belum dapat diperolehi.

“Sebilangan sekolah swasta menyenaraikan buku-buku teks berlainan dengan sekolah kerajaan yang sememangnya mudah untuk didapatkan, namun tidak menjadi masalah bagi saya dan keluarga memandangkan hanya tinggal beberapa buah buku sahaja lagi,” ujarnya.

Ibu bapa dan pelajar sibuk membeli-belah bagi persiapan persekolahan.
Ibu bapa dan pelajar sibuk membeli-belah bagi persiapan persekolahan.

Menurutnya lagi, beliau juga terpaksa mengupah memotong baju sekolah memandangkan anak-anaknya bersekolah di sekolah swasta dan tidak disediakan oleh pihak sekolah serta tidak ada yang sudah siap di kedai-kedai.

Sementara itu, Haji Mohammad bin Haji Ludin, bapa kepada empat orang anak yang bersekolah pula menyatakan beliau tiada masalah dalam persiapan persekolahan anak-anaknya terutama bagi mendapatkan buku-buku persekolahan.

“Setakat ini tiada masalah untuk mendapatkan buku-buku persekolahan yang diberikan dalam senarai kerana buku yang dibekalkan di kedai-kedai pun sudah tersedia sejak sebulan yang lalu,” ujarnya.

Ditanya mengenai keperluan persekolahan, Haji Mohammad berkata persiapan juga telah dibuat sebulan yang lalu dan mana-mana beg sekolah atau kasut yang masih boleh dipakai akan dipakai kembali bagi mengelakkan pembaziran.

Beliau juga menjelaskan, beberapa keperluan atau buku anak yang tua dapat digunakan untuk anak mereka yang seterusnya jadi dengan itu agak mudah untuk membuatkan persiapan bagi mereka.

“Begitu juga dengan seragam sekolah, persiapan bagi pakaian seragam sekolah mereka juga telah awal tersedia memandangkan mudah untuk membelinya di kedai berbanding memotongnya lagi di kedai jahit,” ujarnya.

Awang Muhd Zulhelmi bin Muhd Zaman, 14, yang akan naik ke Tahun 9 pada tahun ini, pula berkata, separuh daripada barang-barang sekolahnya adalah yang baru dibeli dan selebihnya adalah barang-barang tahun lalu yang masih dapat dipakai.

Wartawan Media Permata juga sempat menemui Pengurus Bismi Trading Sdn Bhd, Jamal Mohamed, yang berkata, tahun ini semakin ramai yang berkunjung untuk membeli barang-barang sekolah.

“Kami juga telah bersedia menyediakan banyak stok bagi buku-buku teks yang digunakan oleh kurikulum supaya semua yang datang dapat membeli,” ujar beliau.

ARTIKEL YANG SAMA