Persiapan akhir semakin rancak

Persiapan akhir semakin rancak

Oleh Sim Y. H.

Gambar Oleh Sim Y.H. & Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Jan – Setelah bercuti kira-kira sebulan, orang ramai terutamanya para ibu bapa bersama anak-anak mereka, pada masa ini, berpusu-pusu mengunjungi pusat membeli-belah dan kedai-kedai buku bagi membuat persiapan akhir membeli pakaian, peralatan sekolah dan buku untuk anak-anak mereka yang akan memulakan tahun persekolahan bagi 2016 esok.

Tinjauan Media Permata ke beberapa buah kedai buku, hari ini, mendapati para ibu bapa sedang sibuk membeli barangan persekolahan.

Media Permata yang membuat tinjauan di kedai buku di Gadong berpeluang bertemu dengan Pengurus Cawangan Bismi Gadong, Awang Muhd Imamul Ariffin yang berkata, sejak beberapa hari kebelakangan ini, jumlah ibu bapa dan anak-anak mereka yang berkunjung ke kedai berkenaan terus meningkat.

Beliau juga berkata, jumlah itu akan terus meningkat apabila bermulanya musim persekolahan 2016 dengan ibu bapa dan para pelajar bukan sahaja membeli barangan keperluan sekolah seperti alat tulis dan beg sekolah tetapi juga buku-buku teks dan latihan yang diperlukan.

Menyentuh mengenai buku teks dan latihan, Awang Muhd Imamul berkata bahawa sebagai salah sebuah kedai yang diberikan kebenaran untuk menjual buku teks dan buku kerja, Bismi Trading Sdn Bhd mempunyai bekalan buku yang mencukupi untuk menampung keperluan orang ramai dengan kesemua buku-buku teks dan kerja sudah tiba serta mula dijual pada Disember lalu.

pg04_160104_b

Awang Muhd Imamul memberitahu, sejak beberapa hari kebelakangan jumlah pengunjung yang membeli buku dan barang keperluan terus meningkat.
Awang Muhd Imamul memberitahu, sejak beberapa hari kebelakangan jumlah pengunjung yang membeli buku dan barang keperluan terus meningkat.

Beliau juga menjelaskan, kedai mereka tidak menghadapi masalah kekurangan buku teks dan setiap buku serta peralatan sekolah yang hendak diperoleh oleh pelanggannya dapat disediakan dengan segera.

Beliau turut berkata bahawa jumlah pembeli juga meningkat setelah gaji dan bonus hujung tahun dan juga semasa sekolah mula dibuka kerana anak-anak mereka akan mula menerima senarai keperluan sekolah yang mesti diperoleh.

Tambah beliau, walaupun harga buku latihan dan peralatan sekolah naik sedikit tetapi kedainya semasa Jualan Brunei Salebration ini, turut menawarkan harga istimewa sebagai komitmen mereka untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada para pelanggan.

Menerusi tinjauan yang dilakukan, Media Permata juga mendapati bahawa ibu bapa mula mendapatkan buku dan peralatan sekolah pada awal musim percutian untuk mengelakkan kesesakan di kedai buku serta untuk memastikan semua perkara yang perlu dibeli bagi para pelajar diselesaikan sebelum bermulanya musim persekolahan 2016.

Media Permata menemu bual seorang ibu, Dayang Sajidah Manaf yang sedang sibuk membeli buku dan peralatan sekolah untuk anak beliau yang bakal memulakan pengajian di Tahun 7 setelah lulus peperiksaan PSR.

Beliau berkata bahawa persiapan membeli peralatan buku sudah mula dibuat sejak permulaan cuti sekolah apabila mengetahui keputusan peperiksaan dan semua peralatan sekolah seperti pakaian, beg dan kasut sudah siap dibeli pada awal cuti persekolahan.

Dayang Sajidah juga mendapati, beliau tidak menghadapi masalah mendapatkan buku yang terdapat dalam senarai serta merakamkan rasa gembira kerana sebilangan besar buku teks dan latihan yang disenaraikan dapat diperoleh di kedai-kedai buku bukan sahaja dengan mudah tetapi juga pada harga yang berpatutan.

Sementara itu, Jabatan Perkembangan Kurikulum (JPK) menyatakan bahawa buku-buku teks dan kerja asas bagi musim persekolahan 2016 bagi sekolah rendah dan menengah adalah mencukupi dengan sebanyak 46 buah kedai buku di seluruh negara telah diberikan kebenaran menjual dan mengedarkan buku teks dan buku kerja dengan sebanyak 37 buah kedai buku berkenaan berada di Daerah Brunei dan Muara, tiga buah di Daerah Tutong, dua buah di Daerah Temburong dan empat buah di Daerah Belait.

JPK juga diamanahkan untuk melaksanakan tanggungjawab menerbitkan, membekal dan membeli buku-buku serta bahan-bahan kurikulum bagi kegunaan sekolah-sekolah rendah, menengah dan tingkatan enam.

Manakala itu, bagi memberikan kemudahan kepada orang ramai, Kedai Buku JPK juga ditubuhkan di Lobi Bangunan Baru Kementerian Pendidikan bagi memastikan bekalan buku-buku di pasaran adalah betul serta buku-buku yang diperlukan sentiasa ada.

Mereka yang mempunyai sebarang pertanyaan mengenai buku-buku berkenaan boleh menghubungi Unit Penerbitan JPK di talian 2384333 sambungan 304/313/314/315/317 atau menghubungi pembekal buku utama seperti Bismi Trading Sdn Bhd di talian 2342029/2342030 atau Booker International di talian 2449092.

ARTIKEL YANG SAMA