Persiapan awal lancarkan perjalanan acara

Persiapan awal lancarkan perjalanan acara

Oleh Imelda Groves HA

 

TEMBURONG, 21 Julai. – Persiapan awal dengan latihan yang cukup yang diadakan beberapa minggu sebelum acara Majlis Beramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Temburong berbaloi apabila acara tersebut berjalan dengan lancarnya, hari ini.

Rata-rata para pelajar dan guru yang turut serta menjayakan majlis tersebut pagi tadi, menyuarakan perasaan berpuas hati dengan tugasan masing-masing serta berasa lega ia dapat dijalankan dengan baik sekali.

Salah seorang guru dari Sekolah Menengah Sultan Hasan Bangar yang ditemui, pagi tadi, Awang Mohd Ridha @ Ruzaini bin Haji Alim menyatakan mereka mengambil masa dua minggu untuk membuat persiapan bagi menjayakan acara tersebut.

Acara-acara yang pihak sekolah berkenaan ikuti ialah acara perbarisan, junjung ziarah, acara silat, tarian puak Murut, penyertaan Pasukan Bulan Sabit Merah, Pasukan Kadet Polis dan Tentera, Pandu Puteri dan banyak lagi.

Beliau yang mengajar mata pelajaran BTEC Diploma dalam bidang IT bagi Tahun 11 dan ICT bagi Tahun 9 di sekolah berkenaan turut melahirkan rasa bersyukur dengan adanya majlis bersama rakyat tersebut.

Awang Mohd Ridha @ Ruzaini ketika ditemu bual Media Permata.
Awang Mohd Ridha @ Ruzaini ketika ditemu bual Media Permata.
Awang Abdul Azim ketika ditemui.
Awang Abdul Azim ketika ditemui.

“Kami sebagai rakyat berpeluang untuk bercemar duli bersama raja yang disayangi, sekali gus mengambil peluang beramah mesra bersama baginda dan ini adalah peluang keemasan memandangkan bukan selalu untuk bersua muka bersama Baginda Sultan,” ujarnya.

Guru dari Sekolah Rendah Negalang, Abdul Azim bin Haji Abdul Wahab pula berkata, mereka membuat persiapan selama sebulan bagi memastikan acara berjalan dengan lancar.

“Kami membawa 37 orang pelajar sahaja dan kenangan manis yang tidak dilupakan adalah rakyat bersama-sama untuk menjayakan majlis ani,” ujarnya.

Beliau jua melahirkan perasaan amat berbesar hati khususnya penduduk di Temburong yang hadir beramai-ramai bagi berjunjung ziarah dengan Baginda Sultan.

Katanya lagi, setiap sekolah sama ada kerajaan mahupun swasta perlulah ikut serta untuk memeriahkan lagi majlis bagi mengucapkan ribuan terima kasih, kerana Baginda sendiri turun padang ke Temburong dan untuk memberi peluang pelajar bersemuka dengan raja yang disayangi.

Dayang Nurul Hanisah.
Dayang Nurul Hanisah.

Sementara itu, Dayang Nurul Hanisah binti Roslan yang merupakan pelajar Tahun 6 Sekolah Paya Begangan, Temburong, pula melahirkan rasa gembira kerana berpeluang memperlihatkan bakat kaligrafi Cinanya kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

“Saya tidak sabar untuk berjumpa dengan Baginda Sultan walaupun saya takut untuk bercakap bersama Baginda namun bersua muka bersama Baginda sudah cukup menggembirakan bagi saya,” ujarnya.

Seorang lagi pelajar, Suraya anak Ujih yang tinggal di rumah panjang, Kampung Amo B turut melahirkan rasa gembira dan berbangga kerana berpeluang untuk turut serta membuat persembahan kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

“Kami berlatih tiga kali dalam seminggu untuk memastikan persembahan tarian kami berjalan dengan lancar dan sempurna,” jelasnya.

Dayang Syarfa Syakirah.
Dayang Syarfa Syakirah.
Awang Mohd Hamezul Arhim Fahmi.
Awang Mohd Hamezul Arhim Fahmi.

Dayang Syarfa Syakirah binti Norsham dari Sekolah Rendah Selangan turut menyatakan keseronokannya mengibarkan bendera walaupun berpanas sejak pukul 7 pagi.

“Ini adalah kali ketiga saya menyertai acara mengibarkan bendera kecil yang diikuti setiap tahun berturut-turut. Saya bersemangat bangun awal untuk membuat persiapan sebelum berbaris untuk mengibarkan bendera.”

Katanya lagi, jika diberikan peluang tahun hadapan dia ingin mengikuti persembahan yang lain untuk menimba pengalaman yang baru.

Manakala itu, abang sepupunya, Awang Mohd Hamezul Arhim Fahmi bin Mohd Idahm pula melahirkan keseronokannya mengikuti acara mengibarkan bendera kecil ini yang buat pertama kalinya.

ARTIKEL YANG SAMA