Persiapan berkhidmat kepada masyarakat

Persiapan berkhidmat kepada masyarakat

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 April – Seramai 25 orang pelajar Sarjana Muda Perguruan Ugama Usuluddin dan Syariah sesi 2015/2016 Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) menyertai Bengkel Adab-adab Di Dalam Masjid, yang berlangsung di Balai Ibadat Kampung Mata-Mata, Gadong hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis yang juga merupakan salah satu projek semester kursus tersebut ialah Ketua Kampung Mata-Mata, Haji Metali bin Haji Kamis.

Menurut pengerusi majlis, Awang Mohammad Amiruddin bin Haji Mohd Deli, program keagamaan itu merupakan salah satu program kokurikulum kelolaan Pusat Ilmu Teras bagi memfokuskan sumbangan daripada pelajar kolej terhadap masyarakat.

Beliau yang juga pelajar Ijazah Sarjana Muda Perguruan (Usuluddin) berkata, program itu juga bertujuan sebagai pendedahan untuk membina suatu pengalaman yang lebih mencabar, praktikal dan memberi banyak manfaat dalam menambah maklumat dan pengetahuan bagi pelajar KUPU SB terutama dalam menganjurkan sesuatu program.

Awang Waiz ketika menyampaikan tazkirah mengenai adab di dalam masjid.
Awang Waiz ketika menyampaikan tazkirah mengenai adab di dalam masjid.

Di samping itu, program tersebut juga sebagai satu persiapan bagi siswa dan siswi yang menerima pendidikan perguruan untuk menyumbangkan khidmat bakti dan tenaga mereka dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab yang berbentuk pendidikan, dakwah, kepimpinan serta kemasyarakatan kepada masyarakat.

Bengkel itu menyasarkan seramai 25 orang kanak-kanak dan belia Balai Ibadat Kampung Mata-Mata yang berusia enam hingga 12 tahun dengan tujuan untuk memberikan kefahaman mengenai menjaga tingkah laku serta tatatertib semasa berada dalam tempat beribadat.

Bengkel itu juga diharap dapat menanamkan sifat kasih sayang dan menghormati rumah-rumah ibadat.

ARTIKEL YANG SAMA