Persiapan Cabaran 4×4 Padawan berjalan lancar

Persiapan Cabaran 4×4 Padawan berjalan lancar

KUCHING, 21 Mei – Persiapan untuk acara Padawan International 4×4 Off-Roaders Extreme Challenge yang julung kali diadakan dan Karnival Kebudayaan Bengoh di Skim Penempatan Semula Bengoh (BRS), Jalan Puncak Borneo, kira-kira 40km dari sini dari 22 hingga 24 Mei, kini giat dijalankan.

Padawan International 4×4 Off-Roaders Extreme Challenge dianjurkan Majlis Perbandaran Padawan (MMP), manakala Karnival Kebudayaan Bengoh dianjurkan sebuah jawatankuasa dengan kerjasama Majlis Daerah Kecil Siburan dan Padawan dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Pengerusi MPP Lo Khere Chiang berkata Padawan International 4×4 Off-Roaders Extreme Challenge mencatat kejayaan awal apabila 60 pasukan dari Thailand, Indonesia, Brunei, Semenanjung, Sabah dan pasukan tempatan mengesahkan penyertaan masing-masing.

“Saya ingin menggalakkan warga tempatan dari dekat dan jauh seperti Kuching, Miri, Lawas, Limbang dan Sabah untuk datang menyaksikan acara ini,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Lo berkata melalui acara itu, peserta dari luar negara akan berpeluang melawat tempat menarik di Padawan seperti Rumah Panjang Anah Rais, Rumah Panjang Benuk, Taman Rafflesia, Pusat Biodiversiti, Orang Utan dan gua.

Sementara itu, pengerusi jawatankuasa penganjur, Wilfred Yap berkata pelbagai aspek keselamatan laluan yang mengandungi cerun serta bukit dengan sudut dan ketinggian berbeza sedang diteliti untuk memastikan ia memenuhi standard antarabangsa tertinggi dan acara itu mendapat pengiktirafan Persatuan Automobil Malaysia (AAM).

Katanya peserta akan mempamerkan kemampuan dan kemahiran masing-masing dalam mengendalikan kenderaan 4×4 yang diubah suai bagi menghadapi cabaran meredah pelbagai bentuk rupa bumi, batu, lumpur dan air.

Menurut beliau, Menteri Muda Kesihatan Awam Sarawak Datuk Dr Jerip Susil akan mewakili Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem merasmikan acara itu.

Sementara itu, Karnival Kebudayaan Bengoh, yang akan diadakan pada tarikh dan tempat sama, dijangka menarik banyak pengunjung kerana ia diserikan dengan pelbagai acara menarik, termasuk pertandingan akhir Ratu Cantik Kebudayaan Bengoh pada 23 Mei, persembahan memalu gong dan tarian serta pameran oleh pelbagai agensi kerajaan, di samping kewujudan gerai menjual makanan, minuman dan produk kraf. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA