Persiapan dari segi mental & fizikal

Persiapan dari segi mental & fizikal

Oleh Siti Nur Wasimah S.

Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Ogos – Sebagai persediaan dalam menangani penyakit MERS ketika jemaah haji negara berada di Arab Saudi, beberapa langkah pencegahan dan persiapan telah dilaksanakan.

Antara langkah-langkah berkenaan termasuk menyediakan risalah MERS yang berpandukan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Kementerian Kesihatan di negara ini, kepada bakal jemaah-jemaah haji.

Salah seorang Pegawai Jururawat dari Pusat Pengasingan Kebangsaan, Tutong, Dayang Nursyazwani binti Abdullah, mengatakan jururawat dan pihak berkepentingan turut memberikan nasihat kepada bakal jemaah haji supaya sentiasa peka dan berhati-hati semasa berada di sana dan agar mereka tidak selalu mendekati tempat-tempat yang sempit dan selalu membawa bekalan air.

Pengiran Hajah Damit bersama suami yang akan mengerjakan haji tidak lama lagi memanjatkan rasa syukur kerana dapat diberikan peluang sekali lagi.
Pengiran Hajah Damit bersama suami yang akan mengerjakan haji tidak lama lagi memanjatkan rasa syukur kerana dapat diberikan peluang sekali lagi.
Antara para pegawai perubatan yang akan mengerjakan haji dan menemani jemaah haji Brunei di Mekah nanti.
Antara para pegawai perubatan yang akan mengerjakan haji dan menemani jemaah haji Brunei di Mekah nanti.

“Kami akan sentiasa bersiap sedia dan memerhatikan para bakal jemaah haji di sana dan mereka akan diseru untuk segera berjumpa dengan kami jika mereka merasa kurang sihat atau demam,” ujarnya semasa ditemui di Majlis Mengadap dan Junjung Ziarah Bakal Jemaah Haji Negara bagi Tahun 1436 Hijriah/2015 Masihi di Istana Nurul Iman, petang tadi.

Menurut beliau lagi, jika salah seorang bakal jemaah haji menunjukkan simptom kurang sihat apabila pulang nanti, mereka akan dirujuk ke Bahagian Kecemasan dan Kemalangan di hospital-hospital dan jika perlu mereka akan dikuarantin dan ditetapkan di pusat pengasingan.

Dalam pada itu, Media Permata turut berkesempatan menemu bual beberapa bakal jemaah haji, dan salah seorang daripadanya ialah Pengiran Hajah Damit binti Pengiran Haji Omar, 55, yang berkata ini merupakan kali kedua beliau menunaikan haji bersama suami.

“Alhamdulillah, saya merasa sangat bertuah dan berterima kasih kerana sekali lagi mendapat rezeki daripada Allah SWT untuk menunaikan ibadah haji di Mekah. Kali pertama saya adalah pada tahun 2012.”

Seorang lagi bakal jemaah haji, Dayang Wajihah binti Abdul Lamit, 22, turut menyatakan perasaan gembira dan bersyukur kerana beliau akan menunaikan haji buat pertama kalinya bersama tiga lagi ahli keluarga termasuklah kedua-dua ibu bapa beliau.

“Saya berharap kami sekeluarga akan mendapat haji yang Mabrur dan haji yang diterima oleh Allah SWT setelah selesai melaksanakan haji serta semoga urusan kami semasa berada di sana nanti akan dipermudahkan olehNya.”

Beliau memberitahu para jemaah haji tahun ini juga telah diperingatkan untuk mempersiapkan diri dari segi mental dan fizikal sewaktu menunaikan haji itu nanti.

Salah satu daripada persediaan beliau dalam menunaikan haji ini termasuk menghadiri taklimat-taklimat haji dan ceramah yang telah ditetapkan di samping membeli buku-buku haji agar dapat memahami dan mempersiapkan diri secukupnya semasa berada di Mekah nanti.

“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Baginda Sultan atas peluang yang telah diberikan dengan kemudahan-kemudahan yang telah disediakan bagi kami nanti.”

ARTIKEL YANG SAMA