Persiapan diri sebelum Ramadan

Persiapan diri sebelum Ramadan

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 17 Jun – Lebih 150 orang terdiri daripada kalangan para pegawai dan kakitangan Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria telah menghadiri Majlis Ceramah Menjelang Ramadan yang diadakan di Dewan Persidangan Kuala Belait, hari ini.

Majlis yang dianjurkan oleh jabatan berkenaan turut dihadiri Pemangku Pengerusi Lembaga Bandaran Kuala Belait dan Seria, Awang Sarih bin Tabong selaku tetamu kehormat, bersama para pegawai kanan dan kakitangannya.

Ceramah yang disampaikan oleh penceramah undangan dari Pusat Dakwah Islamiah, Haji Asmat bin Haji Tuah menekankan mengenai puasa dalam bulan Ramadan yang termasuk dalam rukun Islam yang lima dan wajib dilaksanakan dengan memperbanyakkan amal ibadat di dalamnya.

Beliau turut menggariskan beberapa hikmah dan faedah berpuasa antaranya sebagai tanda syukur atas nikmat Allah, mendidik nafsu ke tahap nafsu mutmainnah, niat membersihkan diri daripada sifat mazmumah, serta mendidik jiwa supaya bersabar.

Haji Asmat ketika menyampaikan ceramah di Majlis Ceramah Menjelang Ramadan.
Haji Asmat ketika menyampaikan ceramah di Majlis Ceramah Menjelang Ramadan.

“Berpuasa juga boleh membawa kepada kesihatan jasmani dengan merebut fadilat dan ganjaran-ganjaran istimewa dalam bulan suci itu dan mendidik diri ke arah pembinaan insan bertakwa,” ujarnya.

Haji Asmat turut menjelaskan bahawa terdapat enam langkah ke arah orang bertakwa sepanjang bulan Ramadan iaitu istiqamah, sabar, ikhlas, redha, muhasabah dan beriman.

Ceramah yang diadakan itu merupakan salah satu aktiviti keagamaan jabatan tersebut dengan matlamat untuk mempersiapkan diri sebelum menunaikan ibadah puasa dalam bulan Ramadan yang juga diteruskan dengan bacaan tahlil dan doa selamat yang dipimpin oleh Imam Masjid Muhammad Jamalul Alam Kuala Belait, Haji Alias bin Haji Bakar.

ARTIKEL YANG SAMA