Persiapan Hari Kebangsaan terjejas

Persiapan Hari Kebangsaan terjejas

KUALA LUMPUR, 30 Ogos (Bernama) – Persiapan akhir sambutan Hari Kebangsaan 2015 di Dataran Merdeka terjejas kerana laluan masuk dihalang oleh peserta perhimpunan Bersih 4 yang berkumpul memenuhi kawasan sekitar lokasi itu.

Pengerusi Jawatankuasa Acara Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan 2015, Datuk Seri Othman Mahmood berkata persiapan untuk acara Hari Kebangsaan yang akan disambut esok itu tidak berjalan dengan lancar seperti yang dirancang.

“Setakat pagi ini, saya dan beberapa pegawai dari Jabatan Perdana Menteri hanya dapat menyempurnakan persiapan sambutan sebanyak 50 peratus sahaja.

“Banyak peralatan dan barangan keperluan tidak dapat dibawa masuk ke Dataran Merdeka dan kami hanya mempunyai kurang daripada 17 jam untuk menyempurnakan persiapan itu,” katanya ketika ditemui oleh pemberita di sini, hari ini.

Perhimpunan Bersih yang dihadiri oleh kumpulan pro-demokrasi membanjiri pusat bandar Kuala Lumpur. – Reuters
Perhimpunan Bersih yang dihadiri oleh kumpulan pro-demokrasi membanjiri pusat bandar Kuala Lumpur. – Reuters

Othman meminta agar pihak penganjur perhimpunan Bersih 4 memberikan kerjasama dengan menghentikan perhimpunan lebih awal agar mereka dapat menyelesaikan persiapan sambutan hari bersejarah negara itu.

“Saya seru kepada semua peserta perhimpunan Bersih untuk memberi kerjasama kerana sambutan Hari Kebangsaan ini untuk semua rakyat Malaysia, kita mahu menyambut Hari Kebangsaan tersebut dengan penuh semangat patriotisme,” tegasnya.

Othman berkata sikap peserta himpunan itu tidak menggambarkan perpaduan yang diseru selaras dengan tema sambutan Hari Kebangsaan #SehatiSejiwa yang menggambarkan keutuhan, persefahaman, kebersamaan dan kemanusiaan semua rakyat di negara ini.

ARTIKEL YANG SAMA