Persiapan ke Tanah Suci

Persiapan ke Tanah Suci

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Ogos – Sebagai persiapan bagi bakal jemaah haji sebelum berangkat ke Tanah Suci, Darussalam Holdings Sdn Bhd (DHSB), hari ini, mengadakan ceramah perdana dan taklimat pengurusan haji bagi musim Haji 1437/2016.

Majlis yang berlangsung di Dewan Kesenian, Bangunan Pusat Kesenian dan Pertukangan Tangan itu dihadiri oleh lebih 250 orang bakal jemaah haji yang mengikuti pakej DHSB.

Turut hadir ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB).

Pengarah Urusan DHSB, Haji Mahmud bin Haji Mohamed semasa berucap menjelaskan, pada tahun ini sebanyak 400 kuota Haji telah diberikan, di mana 285 orang mengikuti pakej DHSB termasuk beberapa visa khas yang diberikan pihak Kedutaan Arab Saudi kepada beberapa orang jemaah haji.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi turut hadir pada majlis itu.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi turut hadir pada majlis itu.
Bakal-bakal jemaah Haji yang mengikuti pakej Darussalam Holdings Sdn Bhd.
Bakal-bakal jemaah Haji yang mengikuti pakej Darussalam Holdings Sdn Bhd.

Sehubungan itu, dalam memastikan manasik haji berjalan dengan lancar dan sempurna, pihak pengurusan mengaturkan seramai 10 orang pegawai petugas haji dan lapan orang Mutawwif tempatan di Arab Saudi untuk memastikan dan memeduli jemaah sepanjang berada di sana.

“Darussalam Holdings sentiasa cuba sedaya upaya memberikan perkhidmatan yang sebaiknya ke arah kesempurnaan ibadat dan kesejahteraan bakal jemaah haji sepanjang berada di Tanah Suci,” ujarnya.

Pada majlis itu, ceramah perdana penghayatan ibadah haji telah disampaikan oleh Pengarah Pusat Ilmu Teras Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr. Haji Noralizam bin Haji Aliakbar.

Selain itu, bakal jemaah haji juga mendengar taklimat mengenai persiapan pengurusan haji di mana taklimat ini amat penting bagi semua jemaah kerana pihak pengurusan akan menjelaskan persiapan yang perlu dibuat sebelum jemaah berangkat meninggalkan negara ke kota suci Madinah.

“Di samping mengetahui persiapan sepanjang berada di Kota Madinah dan Mekah serta persiapan semasa Wuquf di Arafah dan juga minta selain persiapan kepulangan ke Tanah Air,” tambah Haji Mahmud.

Dalam perkara ini, katanya, pihak pengurusan berharap dalam taklimat ini bakal jemaah haji  akan sedikit sebanyak memperoleh kefahaman dan pengetahuan mengenai persiapan yang perlu dibuat selain persiapan dari segi ibadah yang telah dikendalikan kursus oleh pihak Jabatan Urusan Haji.

Menurutnya lagi, sepanjang berada di Tanah Suci nanti, beberapa perancangan dan aktiviti diaturkan termasuk beberapa lawatan ke tempat bersejarah, ceramah agama dan ulang kaji ibadah haji dan umrah di samping menyediakan perkhidmatan lain.

Beliau seterusnya menjelaskan, mengerjakan wukuf di Arafah merupakan kemuncak ibadah haji seterusnya ke Muzdalifah dan Mina di mana pada musim haji tahun lalu, beberapa perubahan dilaksanakan untuk jemaah haji negara terutama penempatan khemah di Arafah yang memberi keselesaan lebih baik dan teratur berbanding sebelumnya.

Beliau juga menjelaskan, jemaah haji yang mengikuti pakej DHSB, sebanyak $10 daripada harga pakej haji akan disumbangkan kepada tabung projek amal DHSB yang dikenali dengan Al Birr Wat Raqwa.

“Tabung ini mula diungkayahkan pada tahun 2009 yang bertujuan untuk membantu penduduk negara ini yang berpendapatan rendah dan kurang berkemampuan dan untuk Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah untuk Anak-anak  Yatim dan yang berkaitan dengannya,” tambahnya.

Dengan amal jariah ini, ia diharap dapat memanjangkan amal para jemaah dalam sama-sama meringankan beban penerima bantuan dan semoga Allah memberikan kemudahan dan rahmat sepanjang jemaah melaksanakan ibadah haji di Tanah Suci nanti.

Di akhir majlis itu, bakal jemaah juga diberikan cenderahati berupa beg troli, buku panduan haji dan umrah.

 

ARTIKEL YANG SAMA