Persiapan perkahwinan hangus

Persiapan perkahwinan hangus

Oleh Hajah Saemah Kepli

KUALA BELAIT, 12 Feb – Kegembiraan persiapan mengadakan majlis perkahwinan berubah menjadi duka, apabila rumah sebuah keluarga terbakar dipercayai berpunca daripada api yang melarat daripada kebakaran sebuah rumah berdekatan dalam kejadian pagi tadi di kawasan Jalan Sultan Sulaiman di sini.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat, mereka menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian kebakaran dua buah rumah itu kira-kira jam 8 pagi tadi dan segera mengejarkan tiga buah jentera bomba berserta 10 orang anggota bomba Kuala Belait yang diketuai oleh Penolong Pengawas Bomba Zulkeflee bin Awang Alimas.

Menurut saksi di tempat kejadian, kebakaran pada mulanya berlaku di sebuah rumah papan yang dihuni oleh seramai 12 orang pekerja warga asing. Salah seorang daripada mereka sedang bercuti pulang ke negaranya dan semasa kejadian hanya dua orang penghuni yang masih berada di rumah sedang bersiap-siap untuk pergi ke tempat kerja, sementara yang lainnya sudah pergi bekerja lebih awal.

Api yang marak terlalu cepat dan semasa kejadian keadaan agak berangin sehingga melarat ke rumah kedua yang terletak berdekatan dimiliki oleh sebuah keluarga berbangsa Cina.

Rumah papan ranap dijilat api dalam kejadian pagi kelmarin di Jalan Sultan Sulaiman, Kuala Belait.
Rumah papan ranap dijilat api dalam kejadian pagi kelmarin di Jalan Sultan Sulaiman, Kuala Belait.
Rumah berdekatan turut terbakar dalam insiden pagi kelmarin yang mana penghuni rumah ini, dijangka akan mengadakan majlis perkahwinan anak mereka.
Rumah berdekatan turut terbakar dalam insiden pagi kelmarin yang mana penghuni rumah ini, dijangka akan mengadakan majlis perkahwinan anak mereka.

Bahagian atas rumah kedua-dua tingkat separuh papan itu musnah manakala bahagian bawah buatan konkrit mengalami kerosakan.

Penghuni di rumah kedua itu juga dilaporkan akan mengadakan majlis perkahwinan salah seorang anak mereka hari ini, dan berikutan kejadian itu, majlis terpaksa dipindahkan ke rumah keluarga mereka yang lain.

Sementara itu pihak bomba melaporkan, punca dan anggaran kerugian berikutan kejadian itu masih dalam siasatan, bagaimanapun kejadian tiada melibatkan kemalangan jiwa.

ARTIKEL YANG SAMA