Persiapan Perlumbaan Go-kart berjalan lancar

Persiapan Perlumbaan Go-kart berjalan lancar

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Nov – Perlumbaan Go-kart Bandar Seri Begawan 2015 akan tampil memeriahkan ibu kota Brunei Darussalam pada Ahad, 22 November 2015 bersempena Sambutan Memperingati Hari Ulang Tahun Penukaran Nama Bandar Brunei Kepada Bandar Seri Begawan yang ke-45 bagi Tahun 2015.

Perlumbaan yang diusahakan oleh Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) melalui Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan lain itu akan menyaksikan keberangkatan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik bagi menyempurnakan Perlumbaan Go-kart peringkat Elite Akhir.

Perkara itu ditegaskan oleh Pengerusi Lembaga Bandaran, Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan, Pengiran Dato Paduka Haji Abdul Rahman Pengiran Seri Indera Pengiran Haji Ismail selaku Setiausaha Jawatankuasa tertinggi dan Pengerusi Jawatankuasa kerja perlumbaan Go-kart Bandar Seri Begawan 2015 ketika beruca di sidang media di KHEDN hari ini.

“Sebanyak tiga kategori perlumbaan akan dipertandingkan Ahad nanti, antaranya adalah kategori Final Novice, Final Veteran dan Final Elite dan setiap perlumbaan akan melibatkan 20 pusingan sejauh 1.2 kilometer setiap pusingan,” ujarnya

Sebelum acara kemuncak, pada hari Sabtu pula akan berlangsung pusingan latihan bermula pada jam 4.00 petang hingga 6.00 petang di hadapan Pentas Diraja di Dermaga Diraja sehingga ke Jalan Mc Arthur dan Jalan Sultan Omar ‘Ali Saifuddien.

Suasana tatkala berlangsungnya sidang media Perlumbaan Go-kart Bandar Seri Begawan 2015 di KHEDN, di ibu kota, kelmarin.
Suasana tatkala berlangsungnya sidang media Perlumbaan Go-kart Bandar Seri Begawan 2015 di KHEDN, di ibu kota, kelmarin.

Selain daripada acara Go-kart, akhir terdapat juga acara sampingan antaranya di Dermaga Diraja Bandar Seri Begawan, Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien dan di Jalan Pemancha.

“Di Dermaga Diraja Bandar Seri Begawan akan berlangsung aktiviti seperti Pameran Kereta Retro, Pameran Produk dan Perkhidmatan oleh penaja-penaja utama Perlumbaan Go-kart, Permainan ‘Air Wheels’, Senamrobik, ‘E-Vendor’ dan ‘Face Painting @ Henna,” jelas Pengiran Dato Paduka Haji Abdul Rahman

Sementara itu, menurutnya di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien pula berlangsung aktiviti-aktiviti riadah seperti ‘flying fox’, berbasikal, permainan bouncer dan permainan Aktiviti Air serta Aktiviti Berjaja di Jalan Pemancha dan Jalan Pretty.

“Orang ramai yang berhajat untuk ikut dalam berjaja di Jalan Pemancha dan Jalan Pretty, mereka dipersilakan untuk mendapatkan borang berjaja dan Kaunter Penyambut Tetamu di Tingkat Bawah, Ibu Pejabat Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan” tambahnya lagi.

Menurutnya lagi, bagi memastikan kejayaan acara itu nanti orang ramai diminta untuk mematuhi arahan-arahan pegawai keselamatan yang terdiri daripada Pasukan Polis Diraja Brunei, pihak Bomba dan Penyelamat, Paramedik dan juga sukarelawan.

Turut bercakap di majlis itu adalah ASP Mohammad Fatdillah bin Haji Abdul Hamid yang antara lain menyentuh mengenai penutupan jalan raya termasuk di sebahagian Jalan Sultan Omar ‘Ali Saifuddien, sebahagian Jalan Mc Arthur, sebahagian Jalan Pemancha dan sebahagian Jalan Pretty.

ARTIKEL YANG SAMA