Persiapan rancak dilaksana

Persiapan rancak dilaksana

Oleh Noorhamizan Haji Mohd Mosbi

 

TEMBURONG, 6 Ogos – Persediaan persembahan padang bagi Majlis Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Bercemar Duli bagi Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk di daerah ini sedang rancak dijalankan.

Latihan yang diadakan di Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan Daerah Temburong, Pekan Bangar disaksikan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

Lawatan tinjauan Yang Berhormat Pehin, selaku Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan KDYMM ke-69 Tahun itu bertujuan bagi meneliti dan mengemas kini persediaan latihan menjunjung Keberangkatan KDYMM ke Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk di daerah ini.

Tahun ini persembahan khas berbentuk drama muzikal daripada Pelajar Sekolah Persediaan Arab Temburong, Pelajar Sekolah Menengah Sultan Hassan Bangar, murid-murid sekolah rendah, ahli Program Khidmat Bakti Negara (PKBN), ahli persatuan, pegawai dan kakitangan di jabatan kerajaan serta ahli jawatankuasa Majlis Perundingan Mukim dan Kampung, membawa tema ‘Raja Masyur Negara Makmur’.

Yang Berhormat Pehin ketika membuat tinjauan latihan persembahan padang di Daerah Temburong.
Yang Berhormat Pehin ketika membuat tinjauan latihan persembahan padang di Daerah Temburong.
Antara segmen yang bakal dipersembahkan oleh para pelajar.
Antara segmen yang bakal dipersembahkan oleh para pelajar.
Antara pelajar yang turut menjayakan persembahan khas nanti.
Antara pelajar yang turut menjayakan persembahan khas nanti.

Persembahan tersebut menggambarkan pencapaian kemajuan dan pembangunan negara dalam pelbagai aspek terutama pendidikan, keagamaan, sosioekonomi dan pembangunan sepanjang 47 tahun pemerintahan Baginda Sultan.

Yang Dimuliakan Pehin sangat berharap pada hari keberangkatan Baginda ke daerah ini, 20 Ogos nanti, semua peserta akan melakukan persembahan terbaik kerana ia adalah sebagai tanda kasih sayang dan taat setia yang tidak berbelah bahagi ke-Hadapan Majlis Baginda.

Hadir sama dalam tinjauan tersebut ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Dimuliakan Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Sulaiman bin Ahad, setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap KHEDN, pegawai Daerah Temburong serta ahli jawatankuasa tadbir tertinggi sambutan perayaan.

ARTIKEL YANG SAMA