Persiapan Raya musnah

Persiapan Raya musnah

Oleh Arissa

 

LIMBANG, 26 Jun – Seorang wanita hampir pitam setelah kelengkapan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang hanya tinggal lebih dua minggu lagi musnah apabila kediamannya di Kampung Sungai Poyan di sini terbakar petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.33 petang itu, semua persiapan Hari Raya Aidilfitri keluarga terbabit termasuk empat pasang baju raya dan barangan berharga musnah dalam kebakaran.

Mangsa, Zauyah Kula, 44, berkata, ketika kejadian dia yang sedang bekerja sebagai kakitangan rendah kontrak di sebuah sekolah menengah menerima panggilan telefon daripada salah seorang jiran mengatakan rumahnya terbakar.Dia yang tergamam dengan kejadian itu terus bergegas pulang ke rumahnya yang rentung dijilap api dalam sekelip mata.

“Setibanya di situ, saya tergamam melihat rumah musnah keseluruhannya serta tidak sempat menyelamatkan sebarang dokumen atau harta benda. Segala persiapan Aidilfitri tidak bermakna lagi, kerana kami kini tinggal sehelai sepinggang dan tidak tahu ke mana hendak berteduh,” katanya yang masih bersedih dengan kejadian itu.

“Bagaimanapun, beliau reda dan bersyukur kerana tiada ahli keluarga berada di rumah ketika kebakaran memusnahkan kediaman mereka.

MUSNAH..Anggota bomba bertungkus lumus memadam kebakaran di Kampung Sungai Poyan semalam.
MUSNAH..Anggota bomba bertungkus lumus memadam kebakaran di Kampung Sungai Poyan semalam.

Zauyah mendiami rumah kayu setingkat itu lebih 10 tahun bersama suaminya Kadir Seli 50-an, yang bekerja di sebuah syarikat perabot dan dua anaknya (seorang lelaki dan perempuan).

Bagi anak perempuannya Nurul Nadirah Kadir 18, kejadian tersebut benar-benar membuatkannya sedih tatkala umat Islam lain sedang sibuk untuk menyambut kedatangan 1 Syawal.

“Segala barangan berharga dan persiapan raya termasuk empat baju kurung yang dibuat ibu untuk dipakai Raya ini habis hangus.

“Sedih memang sedih dan kami masih tidak tahu mahu tinggal di mana,” katanya yang masih trauma dengan kejadian itu. Nurul Nadirah yang bekerja di sebuah restoran di sini berkata kejadian itu dimaklumkan saudaranya sebelum dia bergegas pulang ke rumah.

Sementara itu, Pemangku Ketua Bomba Zon Limbang Bonny Martin Saging Mato berkata, pihaknya menerima panggilan daripada penduduk pukul 1.33 tengah hari.

Nurul Nadirah.
Nurul Nadirah.
Zauyah Kula.
Zauyah Kula.

Bonny berkata, serama 11 anggota membabitkan dua buah kenderaan bomba bergegas ke tempata kejadian.

“Kebakaran dapat dikawal 10 minit berikutnya. Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan Unit Forensik Bomba,”’ katanya.

Dalam pada itu beliau menasihati orang ramai agar tidak leka dan sentiasa berhati-hati terutama sepanjang bulan Ramadan dengan keadaan cuaca panas yang boleh menyebabkan api merebak pantas jika berlaku kebakaran.

“Kita tidak mahu orang ramai beraya tanpa rumah ataupun kehilangan nyawa disebabkan kebakaran,”ujarnya. Dalam pada itu ADUN Bukit Kota, Dr Abdul Rahman Ismail turut bergegas ke lokasi kejadian sebaik di maklumkan mengenai kejadian itu.