Persiapan Reds cetus debat

WATFORD, 11 Ogos – Setelah layak ke Liga Juara-Juara pada bulan Mei, cabaran Liverpool seterusnya adalah memenangi trofi utama pertama mereka di bawah kendalian Jurgen Klopp, tetapi sama ada mereka sudah bersedia mencapai matlamat itu telah menjadi sumber perdebatan di Anfield.

Sebahagian besar penyokong Liverpool bimbang mengenai kurangnya aktiviti kelab di pasaran perpindahan, hanya menandatangani tiga pemain dan setakat ini gagal mendapatkan dua sasaran utama mereka, pemain tengah RB Leipzig, Naby Keita dan pemain pertahanan Southampton, Virgil van Dijk.

Van Dijk masih belum menyertai Liverpool, meskipun setelah menyerahkan permintaan pertukaran awal minggu ini, tetapi kelab mendedahkan bahawa mereka tidak akan menandatangani Keita dalam jendela perpindahan.

Unsur-unsur suram itu diburukkan lagi dengan kecederaan paha pra-musim yang akan mengetepikan pemain tengah England, Adam Lallana hingga November.

Namun masih ada rasa optimistik kerana skuad Klopp bakal memulakan musim Liga Perdana di Watford esok.

Gambar fail pada 23 Oktober 2016 menunjukkan Virgil van Dijk (kiri) bercakap sesuatu dengan rakan sepasukannya di Southampton. Van Dijk merupakan antara sasaran utama Reds musim ini. – AP
Gambar fail pada 23 Oktober 2016 menunjukkan Virgil van Dijk (kiri) bercakap sesuatu dengan rakan sepasukannya di Southampton. Van Dijk merupakan antara sasaran utama Reds musim ini. – AP

Hanya tiga pasukan teratas yang menjaringkan lebih banyak gol dalam Liga Perdana berbanding Liverpool musim lepas, dan bahagian serangan

itu dikuatkan lagi dengan pembelian rekod kelab 37 juta pound Mohamed Salah, antara pemain paling menonjol dalam Serie A bersama Roma musim lepas.

Pemain antarabangsa Scotland, Andy Robertson, 8 juta pound dari Hull, mungkin menyelesaikan masalah bek kiri Liverpool, sementara penyerang muda, Dominic Solanke tiba dari Chelsea dengan potensi besar.

Mengekalkan Philippe Coutinho daripada buruan Barcelona adalah satu lagi perkara yang perlu dihadapi Liverpool.

Liverpool telah menolak dua bidaan dari Barca bagi penyerang Brazil itu, bidaan kedua dilaporkan sebanyak 90 juta pound, dan dengan jelas menyatakan bahawa tidak ada tujuan untuk menjual pemain yang baru sa-haja mempersetujui kontrak lima tahun pada bulan Januari lalu. – AFP