Persiapan sebelum Projek Penyelidikan

Persiapan sebelum Projek Penyelidikan

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Feb – Pusat Sejarah Brunei, hari ini, telah menganjurkan Bengkel Kaedah Penyelidikan Sejarah Tahun 2016 sebagai persiapan awal bagi mahasiswa Universiti Brunei Darussalam (UBD) sebelum mereka turun ke lapangan bagi melaksanakan Projek Penyelidikan Sejarah Kampung-kampung di Kampong Ayer.

Bengkel kedua yang diadakan dengan kerjasama Akademi Pengajian Brunei (APB) itu berlangsung di Dewan Jawatan Dalam, pusat berkenaan dan disertai seramai 66 mahasiswa UBD sebelum mereka memulakan projek penyelidikan itu pada pertengahan Februari ini.

Sesi bengkel bermula dengan ucapan alu-aluan oleh Wakil Timbalan Pemangku Pengetua, Pegawai Sejarah, Awang Mohammad Faisal bin Haji Mat Salleh selaku Pemangku Ketua Bahagian Penyelidikan dan Dokumentasi, Pusat Sejarah.

Beliau kemudiannya menyampaikan taklimat memfokuskan kepada kaedah penyelidikan, manakala Ketua Pengarang Pusat Sejarah, Hajah Fatimah binti Haji Talip menyampaikan taklimat mengenai ‘Kaedah Penulisan Sejarah’, Ketua Bahagian Penggambaran dan Reprografi, Haji Supree bin Haji Tuah dan Pengiran Haji Fawzy bin Pengiran Haji Ahmad menyampaikan aklimat bertajuk ‘Kaedah Penggambaran.’

Awang Mohammad Faisal (kiri),Dayang Adibah dan Hajah Fatimah ketika menyampaikan taklimat.
Awang Mohammad Faisal (kiri),Dayang Adibah dan Hajah Fatimah ketika menyampaikan taklimat.
Antara mahasiswa yang menyertai Bengkel Kaedah Penyelidikan Sejarah di Pusat Sejarah.
Antara mahasiswa yang menyertai Bengkel Kaedah Penyelidikan Sejarah di Pusat Sejarah.

Turut menyampaikan taklimat ialah Penolong Pegawai Sejarah Tingkat 1, Pengiran Fatimah binti Pengiran Hassan bersama Pengiran Linong bin Pengiran Ahmad mengenai ‘Kaedah Transkripsi dan Ringkasan Bahan.’

Bengkel itu mengupas tiga kaedah iaitu Kaedah Penyelidikan Sejarah yang memfokuskan kepada tatacara, teknik dan praktikal dalam mewawancara informan/pengkisah.

Kaedah kedua ialah Kaedah Penulisan Sejarah yang merangkumi disiplin dan format khusus ke atas dapatan bahan sejarah lisan untuk ditulis dalam bentuk penulisan sejarah.

Manakala kaedah ketiga ialah Kaedah Penggambaran yang merangkumi teori, cara dan teknik mengambil gambar yang memperlihatkan nilai-nilai sejarah.

Bengkel itu merupakan kesinambungan daripada Bengkel Penyelidikan Sejarah dan Warisan Mukim Liang, Kampung Sungai Liang pada 2015 yang berjaya dikendalikan dengan lancar dan hasilnya telah didokumentasikan dalam bentuk penulisan akademik yang akan diterbitkan di bawah penerbitan Pusat Sejarah Brunei.

ARTIKEL YANG SAMA